Wednesday, March 3, 2010

APMM Tahan Bot Nelayan Vietnam Ceroboh Perairan Negara

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam bersama seorang tekong dan enam awak-awak kerana menceroboh perairan negara pagi Isnin.

Ketua Penguatkuasa APMM Daerah Kuala Terengganu Komander Maritim Syed Mohd Fuzi Syed Hasan berkata bot yang menggunakan pendaftaran BT 93584 TS tersebut ditahan oleh kapal peronda KM Jarak kira-kira 110 batu nautika dari pantai Kuala Terengganu pada pukul 10.30 pagi Isnin.

"Ketika dihampiri, bot yang sedang memukat itu cuba melarikan diri namun berjaya dipintas oleh KM Jarak dan hasil pemeriksaan ke atas bot kita telah menahan seramai tujuh orang nelayan Vietnam termasuk tekong yang kesemuanya berumur 15 dan 35 tahun dengan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

"Kita turut merampas hasil tangkapan ikan kira-kira 1,000 kg bernilai kira-kira RM3,000," katanya kepada pemberita semalam.

Syed Mohd Fuzi berkata nelayan-nelayan itu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM1 juta kepada tekong manakala awak-awak RM100,000 setiap seorang.

Sementara itu, Syed Mohd Fuzi turut memberi amaran tegas terhadap pemilik bot tempatan yang mengupah nelayan asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

Katanya mereka yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan termasuk denda RM3,000 atau 12 bulan penjara atau kedua-dua sekali di bawah Akta Imigresen.

1 comment: