Friday, March 12, 2010

Pelajar Kurang Upaya Antara Lima Pelajar Terbaik SPM Terengganu








Meskipun hidup dalam keadaan serba kekurangan dan ditambah lagi masalah penglihatan, ia tidak menjadi penghalang kepada seorang anak petani Nur Najmi Syamila Mohd Shakri untuk mencatatkan keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mengalami masalah rabun penglihatan, Nur Najmi Syamila bukan sahaja mampu mencatatkan keputusan cemerlang dalam SPM malah turut muncul seorang daripada lima pelajar terbaik SPM di Terengganu.

"Memang saya telah sasarkan untuk memperolehi 8A dalam SPM dan saya juga banyak berdoa kepada Allah supaya memakbulkan permintaan saya. Ketika menghadapi ini (peperiksaan) semua, kita perlulah yakin dengan diri kita.

"Saya nekad untuk berjaya selepas membaca dan mendengar cerita bahawa orang yang senasib dengan saya juga boleh berjaya. Saya juga berterima kasih kepada ibu dan ayah, guru serta kawan-kawan yang telah banyak membantu saya," katanya ditemui pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam peperiksaan itu, beliau mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains, Perdagangan, Prinsip Akuan, Ekonomi Asas dan Tasawuf Islam dan B bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik.

Nur Najmi Syamila yang berasal daripada Kampung Jerung Tuan, Wakaf Tapai Hulu Terengganu dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besar, dekat sini menyimpan cita-cita untuk menjadi guru atau pensyarah bagi membolehkannya menabur bakti kepada masyarakat.

"Sekarang ini saya hanya nak menguasai dan memahirkan diri dengan penggunaan komputer. Saya juga telah menghantar permohonan kepada UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris) untuk menyambung pelajaran," katanya yang merupakan anak keenam daripada lapan beradik.

Menurutnya, beliau meluangkan masa kira-kira empat hingga lima jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran di rumah.

"Kalau di sekolah, saya tidak nampak apa yang diajar oleh guru di depan. Sebab itulah saya memerlukan masa empat hingga lima jam sehari untuk ulang kaji," katanya yang menerima sijil penghargaan daripada Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau yang mengalami cacat penglihatan sejak kecil serta pernah menjalani pembedahan mata setahun yang lalu berkata dia terpaksa belajar menggunakan tulisan "braille".

No comments:

Post a Comment