Saturday, March 6, 2010

Pelajar Terengganu ikuti Program Pemangkin Generasi Cemerlang

Kementerian Pelajaran berharap lebih banyak syarikat korporat memainkan peranan membantu kerajaan dalam usaha membangunkan sekolah terutama di kawasan pedalaman.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata penglibatan mereka akan banyak membantu meningkatkan kualiti pendidikan dalam negara.

"Kita mempunyai 10,000 sekolah di seluruh negara tetapi saya lebih suka syarikat korporat ini mengambil sekolah di pedalaman untuk dijadikan sekolah angkat," katanya ketika ditemui pada majlis penutup Program Pemangkin Generasi Cemerlang Yayasan Tenaga Nasional, malam Khamis.

Pada majlis itu, seramai 100 pelajar dari empat kawasan pedalaman di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak terpilih untuk mengikuti program lima hari itu.

Dua aktiviti disediakan bagi pelajar-pelajar itu iaitu aktiviti dalaman meliputi pengisian ilmiah dan latihan dalam kumpulan; dan aktiviti luaran seperti sesi lawatan ke Universiti Tenaga Nasional, Muzium Tentera Udara Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia serta Menara Kuala Lumpur.

Tenaga Nasional melalui Yayasan itu memperuntukkan RM50 juta setiap tahun untuk aktiviti penajaan pendidikan dan kebajikan bagi membantu meringankan beban golongan miskin dan mereka yang memerlukan.

Beliau berkata masih banyak sekolah di Sabah dan Sarawak berkategori Pedalaman Tiga (P3) yang boleh dijadikan sekolah angkat.

Beliau berkata setakat hari ini hanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang banyak terlibat dalam program pendidikan seperti Permodalan Nasional Bhd, Sime Darby Bhd, Tenaga Nasional Bhd, Telekom Malaysia dan Petronas.

"Sumbangan mereka agak besar dalam program pendidikan berasaskan tanggungjawab sosial ini tetapi kita mahukan penglibatan yang lebih dari pihak korporat yang lain.

"Kalau diambil mereka sebagai sekolah angkat, saya fikir mereka bukan setakat membantu kita dari segi fizikal sekolah itu tetapi membawa program motivasi dan membawa anak-anak ini keluar dari pedalaman," katanya.

Puad berkata kementerian kini dalam proses menyiap dan melaksanakan sekolah teras atau amanah yang akan melibatkan pihak korporat.

No comments:

Post a Comment