Jay Thomson dari pasukan kebangsaan Afrika Selatan memenangi perlumbaan peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 yang berakhir di Kemaman, semalam.
Pelumba basikal berumur 25 tahun itu mencatat masa 4 jam 06 minit dan 54 saat untuk memenangi laluan dari Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu ke Chukai, di Kemaman, sejauh 182.3km mendahului pelumba Tobias Erler (Tabriz Petrochemical Cycling) yang menduduki tempat kedua dan David Pell dari Drapac Porsche Cycling di tempat ketiga.
"Saya berada dalam keadaan baik selepas perlumbaan Tour of Wellington, New Zealand. Walaupun tanpa strategi khusus, saya memutuskan untuk berada di depan kelompok pecahan para pelumba.
"Ia keputusan yang tepat kerana kami (dengan Erler dan Pell) mampu untuk menamatkan perlumbaan dengan perbezaan masa tiga minit dengan pelumba lain selepas berpecah," katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.
Bagi perlumbaan hari ini, Erler merangkul jersi kuning daripada Michael Matthews dari Team Jayco-Skins untuk mendahului dalam kelas individu.
Peter McDonald dari pasukan Drapac Porsche Cycling mengutip empat mata lagi untuk jersi kuning sebagai Raja Bukit (KOM) selepas menguasai kategori keempat KOM di Kampung Landas, Dungun.
Sementara itu, Anuar Manan terus mempertahankan dua jersi iaitu hijau (raja pecut) dan biru (pelumba terbaik Asia) walaupun sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima pada hari ini.
Keupayaan pelumba kelahiran Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu membolehkannya meraih 11 mata walaupun gagal mengutip sebarang mata pada tiga zon pecutan di Pela, Dendang dan Dungun.
Beliau kini mengumpul mata keseluruhan 34 mata, dibezakan dua mata dengan dua pencabar utama, Michael Matthews dari Team Jayco-Skins dan pelumba dari Tabriz Petrochemical Cycling, Toblas Erler.
"Saya akan cuba untuk mengutip lebih banyak mata pada peringkat ketiga esok yang melibatkan laluan landai seperti peringkat pertama dan kedua," katanya kepada pemberita di sini.
Mengenai perlumbaan hari ini, pelumba pasukan Geumsan Ginseng Asia itu berkata usahanya untuk memungut mata pada tiga zon pecutan tidak berhasil setelah tayar basikalnya pancit di zon pecutan pertama di Kampung Pela.
"Saya terpaksa menggantikan tayar berkenaan menyebabkan saya gagal untuk mengejar kelompok pelumba besar di hadapan untuk meraih mata pada baki dua zon pecutan," katanya.
Pelumba berusia 24 tahun itu berkata beliau akan cuba untuk mengekalkan jersi hijau itu sekaligus bergelar pelumba Malaysia pertama meraihnya sejak LTdL kali pertama dipertandingkan pada 1996.
"Untuk jersi biru, ia merupakan satu bonus kerana saya dan pasukan tidak mensasarkan untuk memenanginya," katanya.
Perlumbaan peringkat ketiga esok, akan bermula di Pekan, Pahang sejauh 145.6km dan berakhir di Mersing, Johor melibatkan 112 pelumba daripada 20 pasukan yang bersaing.
No comments:
Post a Comment