Langkah untuk memerangi gejala penagihan dadah yang menjadi musuh nombor satu negara perlu bermula dengan keluarga, kata Pengarah Kolej Komuniti Kuala Terengganu Che Ku Amran Che Ku Ali.
Beliau berkata hanya menerusi institusi kekeluargaan yang utuh sahaja dapat membentuk jati diri, rohani dan keperibadian untuk menolak gejala negatif seperti dadah.
"Dalam memerangi masalah penggunaan najis dadah ini, institusi keluarga memainkan peranan yang sangat penting. Najis dadah ini telah menyumbang kepada beberapa gejala dan masalah sosial seperti HIV, AIDS, jenayah dan sebagainya.
Seperti yang kita sedia maklum, dadah mudah mempengaruhi anak-anak muda kita yang kekurangan jati diri dan kasih sayang keluarga," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan di majlis perasmian penutup program "Traning of Trainer"(TOT) dan Outreach Anti Dadah-Pembimbing Rakan Siswa (PRS) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berlangsung selama lima hari, kelmarin.
Program itu disertai 213 peserta, melibatkan 38 kolej komuniti dari seluruh negara, dua politeknik, empat kolej dan universiti di Terengganu.
Selain itu, beliau berkata pihaknya akan terus komited dalam usaha membendung gejala penagihan dadah daripada terus menular di kalangan pelajar.
"Kita tidak mahu generasi yang lahir dari sesebuah institusi pengajian hari ini terkandas dan hanyut hanya disebabkan oleh dadah," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Mejar Prof Madya Kamarudin Kasim berkata kerajaan serius dan komited dalam usaha memerangi najis dadah.
"Sejak 1983 kerajaan telah menggerakkan usaha serius memerangi dadah. Jika dilihat pada usia, sepatutnya masyarakat telah terdidik dan mempunyai kesedaran tentang bahayanya dadah.
Dalam pada itu, beliau berharap sebarang bentuk program kesedaran berkaitan penyalahgunaan dadah harus diteruskan dan tumpuan harus diberikan khususnya kepada belia yang menjadi harapan negara.
No comments:
Post a Comment