Tuesday, March 9, 2010

Polis Terengganu Rampas Heroin Tahan Dua Lelaki Seorang Wanita

Polis menahan tiga sekeluarga termasuk dua anggota Rela serta seorang wanita warga Thailand, dan merampas 612 gram dadah disyaki heroin yang dianggar bernilai RM200,000 dalam satu serbuan di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Ibai, Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu Supt Roslan Abd Wahid berkata polis turut menahan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun dalam serbuan ke atas sebuah kereta jenis Proton Saga Gen 2 di hadapan sebuah klinik di jalan berkenaan pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu.

"Polis turut merampas wang tunai RM9,800 dan Thai Bath 6,000. Ia merupakan kejayaan terbesar Jabatan Narkotik negeri dalam usaha menumpaskan rangkaian sindiket pengedaran dadah merentasi sempadan antara Thailand, Kelantan dan Terengganu," katanya dalam satu persidangan media semalam.

Katanya sepasukan tujuh pegawai dan 16 anggota yang diketuai oleh DSP Amran Ramli menahan kereta itu selepas menerima maklumat berkenaan kegiatan pengedaran dadah.

Beliau berkata kereta itu dinaiki oleh dua lelaki yang berumur 36 dan 40 tahun yang merupakan sepupu yang berasal dari Pasir Mas Kelantan, dan seorang wanita yang berasal dari Narathiwat, Thailand berumur 28 tahun yang merupakan isteri kepada lelaki berumur 36 tahun itu, bersama anak lelakinya.

Roslan berkata selepas disoal siasat, kedua-dua lelaki itu menunjukkan tempat dadah disimpan di dalam sebuah beg hitam yang diletak di tempat kaki bahagian belakang sebelah kiri penumpang kereta berkenaan.

Beliau berkata selepas diperiksa polis menjumpai 14 bungkusan surat khabar yang diikat dengan getah, dan dalam tiap bungkusan itu terdapat 136 botol plastik lutsinar bertudung kuning dan setiap satu mengandungi dadah disyaki heroin.

Katanya kes itu akan disiasat mengikut seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

Roslan berkata ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan manakala kanak-kanak itu diserahkan kepada keluarga terdekat mereka semalam.

Beliau berkata mengikut rekod, dalam tempoh 1 Januari dan 6 Mac tahun ini 1,966 kes dadah melibatkan 2,046 tangkapan dicatatkan berbanding tempoh yang sama tahun lalu 1,253 kes yang melibatkan 1,354 tangkapan.

No comments:

Post a Comment