Monday, March 8, 2010

Program Prihatin Bantu OKU

















Hasrat untuk menatap wajah Menteri Besar Terengganu tercapai jua akhirnya apabila pelajar ini dapat bersua dengan Ahmad Said selepas menjalani pembedahan mata yang ditanggung Kerajaan Negeri Terengganu.


Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH (UKOM)

Kerajaan negeri akan meneruskan Program Prihatin (PP) tahun ini bagi membantu golongan cacat pendengaran dan bisu mendapatkan rawatan pakar bagi memulihkan kecacatan mereka.

“Tahun ini kita akan kumpul dan bawa golongan yang cacat pendengaran dan suara (bisu) untuk pemeriksaan dan jika ada potensi dipulihkan, kerajaan akan tanggung kos perubatan,” kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Program Prihatin Kerajaan Terengganu dan penyampaian hadiah kepada murid pendidikan khas yang cemerlang dalam peperiksaan awam dan kurikulum 2009, di Wisma Darul Iman semalam (7 Mac).

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman; Ketua Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia, Suhaimi Shaari dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Haji Ariffin Embong.

Tahun lalu seramai dua orang pesakit jantung dan enam orang yang cacat penglihatan berjaya menjalani pembedahan dan meneruskan persekolahan dalam suasana baru.

Ahmad Said berkata, enam daripada tujuh orang yang terpilih daripada 89 orang yang menerima ujian saringan berjaya dipulihkan dan mendapat rawatan di Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur,

“Kerajaan membelanjakan RM80,000 untuk sepanjang rawatan pembedahan dan pemulihan mata pelajar berkenaan dan saya gembira mereka kini mampu belajar dengan lebih selesa,” katanya.

Kerajaan negeri menyediakan dana RM10 juta bagi tujuan PP dan meminta kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri untuk mengenal pasti pelajar yang menghadapi pelbagai masalah berkaitan organ dalaman.

“Kita akan terus lakukan dengan apa cara sekali pun bagi memastikan rakyat negeri ini terus mendapat pembelaan dan orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan tahun lalu yang masing-masing menerima sebuah kamus bahasa dan peralatan pelajaran.

Beliau turut menerima kunjung hormat ibu bapa enam pelajar yang selamat menjalani pembedahan mata, bagi menyampaikan rasa terharu dan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana mengembalikan cahaya dalam kehidupan mereka sekeluarga.

No comments:

Post a Comment