Friday, March 12, 2010

Program 1Azam Terengganu dilancar 15 Mac

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata program 1Azam bagi mewujudkan peluang untuk menjana pendapatan akan dilancarkan di Terengganu, Kelantan Pahang dan Johor pada 15 Mac.

Ia akan dimulakan oleh Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer).

Bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak membabitkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Ncer) juga akan dilancarkan pada 15 Mac sementara 1 April untuk Sabah.

Bagi Sarawak, 1Azam akan dilancarkan hari ini di Kampung Mujat, sebuah rumah panjang Bidayuh di Serian.

Sharizat berkata kerajaan menyasarkan akhir tahun ini sebagai usaha membasmi kemiskinan tegar dan kemiskinan di kalangan 11,233 isi rumah miskin tegar di Sarawak yang ketika ini berdaftar di bawah pangkalan data e-Kasih.

Katanya inisiatif itu akan dilaksanakan di bawah program kementerian 1Azam bagi mewujudkan peluang untuk menjana pendapatan.

"Keutamaan akan diberikan kepada Sarawak, yang digabungkan dengan Sabah yang merupakan 68 peratus daripada 44,643 isi rumah tegar di seluruh negara berdasarkan kepada laporan Makmal Pembangunan Sosial Bumiptera," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kementerian yang dipengerusikan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Kuching semalam.

Beliau berkata antara isu yang dibincangkan termasuk mengenalpasti produktiviti kebajikan dalam mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi menggerakkan bantuan terutama ke kawasan pedalaman Sarawak disebabkan persekitaran tempatan berbeza di sesebuah negeri.

Shahrizat berkata di Sarawak, tindakan segera kementerian di bawah program 1Azam akan memberi perhatian kepada program Azam Tani bersama-sama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri dan juga Kementerian Modenisasi Pertanian yang diketuai Tan Sri Alfred Jabu bagi menggalakkan penyertaan dalam kegiatan berasaskan pertanian.

Peluang menjana pendapatan bagi orang miskin dan miskin tegar menjelang 2010 termasuk melalui Azam Khidmat bagi menggalakkan para peserta untuk bekerja sendiri bagi menyediakan perkhidmatan dengan dibantu Amanah Iktiar, kata Shahrizat.

Program lain ialah Azam Niaga bagi menjana peluang perniagaan melalui latihan dan kemudahan mikro kredit dan Azam Kerja, diketuai Kementerian Sumber Manusia melalui tawaran kerja yang tidak memerlukan pelajaran dan kemahiran, katanya.

No comments:

Post a Comment