Wednesday, March 10, 2010

Selepas bantu pelajar cacat penglihatan, kini pelajar masalah pendengaran

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) diminta mengenal pasti pelajar yang mempunyai masalah cacat pendengaran dan pertuturan agar bantuan dapat disalurkan segera.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, langkah itu penting untuk membolehkan Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan tersebut menerusi program bantuan cacat pendengaran dan pertuturan yang diperkenal dan dilancarkan mulai tahun ini di bawah peruntukan RM10 juta untuk pesakit kronik.

Program ini dilaksanakan selepas kerajaan negeri mengumumkan bagi membantu pelajar cacat penglihatan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata Jabatan Pelajaran telah diarahkan supaya mendaftarkan segera pelajar berkenaan sama ada untuk menjalani pembedahan atau diberi bantuan peralatan.

“Kita minta JPNT mengenal pasti mana-mana pelajar mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan ini untuk membolehkan mereka dibantu sama ada dalam bentuk pembiayaan pembedahan atau bantuan peralatan seperti mesin braille, tongkat, dan alat bantu dengar.

“Justeru, kita minta pihak sekolah dapat menyerahkan segera dan tempahan bantuan yang diperlukan kepada JPNT,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Prihatin Kerajaan Negeri Terengganu, Penyampaian Hadiah Murid Pendidikan Khas Cemerlang Peperiksaan Awam dan Kokurikulum 2009 dan Meraikan Murid Pendidikan Khas Peperiksaan Awam Terengganu 2010 di Wisma Darul Iman, di kelmarin.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah JPNT, Ariffin Embong.

Menurut Ahmad, JPNT juga boleh membuat tempahan terus kepada hospital sekiranya memerlukan peralatan pendengaran dan peralatan lain.

Dalam pada itu, beliau berkata, untuk penyakit kronik seperti penyakit jantung, buah pinggang dan masalah mata, Kerajaan Negeri sanggup memberikan bantuan walaupun terpaksa melakukan pembedahan di luar negara.

“Bagi mereka yang cacat sejak lahir pula, selepas ini kita akan kumpulkan dan bantu mereka,” katanya.

Sementara itu, Ahmad memberitahu, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM80,000 bagi membiayai pembedahan mata enam pelajar yang berjaya dilakukan pada 18 dan 24 Disember tahun lalu di Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn, Petaling Jaya, Selangor.

No comments:

Post a Comment