Wednesday, March 10, 2010

Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora Di Beberapa Tempat

Jabatan Meteorologi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi semalam mengeluarkan amaran mengenai angin kencang dan laut bergelora di beberapa bahagian di negara ini bermula hari ini (Rabu) hingga Sabtu.

Dalam satu kenyataannya, jabatan itu berkata angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu), Wilayah Persekutuan Labuan, Pantai Barat Sabah, Kudat, Palawan, Reef North, Layang-layang dan Condore.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut," kata jabatan itu dalam kenyataan nasihat yang dipertingkatkan yang dikeluarkan sebelum itu pada 5 Mac.

Jabatan itu berkata aktiviti ribut petir yang berlaku di perairan Kuching, Mukah dan Bintulu dijangka berterusan sehingga awal petang ini.

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.

No comments:

Post a Comment