Friday, March 19, 2010

Terengganu Sedia Peruntukan RM2.5 Juta Bantu Pengusaha Bas

Terengganu meluluskan peruntukan RM2 juta kepada Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, selaku agen pelaksana dalam menyalurkan bantuan kepada pengusaha bas dalam negeri, baru-baru ini.

Peruntukan itu ditambah RM500,000 lagi semalam. Ini menjadikan kesemuanya 2.5 juta.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata menerusi peruntukan itu setiap syarikat bas henti-henti layak untuk mendapat bantuan, masing-masing berjumlah RM150,000.

"Konsep bantuan itu adalah RM50,000 diberi dalam bentuk geran bantuan manakala RM100,000 lagi diberi dalam bentuk pinjaman mudah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Peningkatan Imej Pengangkutan Awam Terengganu di sini, pada Khamis.

Sehingga ini enam buah syarikat iaitu SPBT Trevel Sdn Bhd, Syarikat Himda, Pengangkutan Bumi Pantai, Pengangkutan Hamid Yaakob, Pengangkutan Intan Unggul dan Syarikat Pengangkutan Mohd. Nor dan Hisham yang sedang beroperasi dan akan menerima bantuan berkenaan.

Sementara itu Ahmad Said berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM11.2 juta khusus bagi meningkatkan imej perkhidmatan kereta sewa dalam negeri, dan sehingga Mac ini, 454 pengusaha kereta sewa sudah mendapat kemudahan bantuan yang disediakan kerajaan.

Beliau berkata pengangkutan awam di Terengganu perlu selari dengan pertumbuhan bandaraya Kuala Terengganu kerana ia merupakan teras kepada kemeriahan dan rangsangan pembangunan.

Katanya penyediaan perkhidmatan awam sama ada kereta sewa, teksi, bas mahupun beca di ibu negeri Terengganu perlu ditingkatkan agar setaraf dengan pengangkutan awam di lain-lain bandar raya maju.

Hadir sama, Dato’ Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato’ Adzlan Mohd Dagang dan Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Haji Azmi Razik serta lebih 200 orang pengusaha bas, kereta sewa dan beca roda tiga.

Katanya, kerajaan sekali-kali tidak akan meminggirkan pengusaha beca roda tiga yang menjadi ikon pelancongan sejak sekian lama.

“Kerajaan bersetuju menambah RM500,000 lagi untuk meningkatkan perkhidmatan kenderaan tersebut dan sebagai permulaan empat orang daripada 30 pengusaha telah menukar beca mereka menggunakan enjin hybrid,” katanya.

Katanya, segala bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dapat dipergunakan sebaik mungkin dan bukan sebaliknya menghentam kerajaan.

“Berilah perkhidmatan terbaik kepada masyarakat tempatan dan pelancong serta bersama-sama menjaga imej negeri dan jauhi sikap riak dan besar hati dengan perolehan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment