Sebagai langkah menambahkan lagi jumlah kemasukan pelancong asing ke Kelantan, Tourism Malaysia Kelantan menjalankan kerjasama dengan ejen pelancongan di Pulau Pinang dan Terengganu.
Pengarahnya Muhamad Zaki Talib berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan selama dua hari antara ejen-ejen pelancongan dua negeri itu dan pengusaha-pengusaha chalet di Kelantan.
"Pada pertemuan yang bermula 18 Mac lalu kita membawa ejen-ejen itu ke homestay (inap desa) di negeri ini dan membawa mereka melawat tempat-tempat menarik seperti homestay di Jelawang, Bachok, serta beberapa tempat menarik di Kota Baharu," katanya semalam.
Beliau berkata tempat menarik itu merupakan daya tarikan kepada pelancong asing kerana keindahan semulajadi alam flora.
Selain itu ianya juga dapat mendedahkan pelancong asing kepada kehidupan masyarakat pedalaman di negeri itu.
Muhamad Zaki berkata setelah mengadakan pertemuan dengan ejen itu, mereka bersetuju untuk memperkenalkan produk pelancongan di negeri Kelantan.
Beliau berkata berdasarkan maklum balas yang diterima, pelancong asing mahu melihat dan menyaksikan keindahan alam flora di negara ini dan Kelantan merupakan antara gerbang masuk untuk Taman Negara.
"Namun mereka mungkin penat setelah perjalanan jauh dari Pulau Pinang atau terpaksa menunggu sehari untuk ke pulau-pulau menarik di Terengganu.
"Jadi sementara menunggu atau ingin berehat sehari sebelum ke Taman Negara melalui Kuala Koh mereka diberikan peluang untuk tinggal di Homestay di negeri ini," katanya.
Beliau berkata bagi pelancong dari utara mereka boleh menginap di inap desa di Gua Musang dan Jelawang, manakala di Terenganu mereka boleh menginap di Bachok.
No comments:
Post a Comment