Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata kerajaan kini mahu mengembalikan kegemilangan penghayatan al-Quran untuk generasi masa kini yang antara lain juga bertujuan untuk membendung gelaja sosial di kalangan remaja."Hari ini walaupun orang ramai menghargai al-Quran, tetapi tidak sehebat penghayatan yang diberikan generasi terdahulu.
"Sebagai contoh, dahulu, jika hendak mendirikan rumah tangga, keluarga akan bertanya adakah bakal menantunya itu sudah tamat al-Quran. Tetapi orang sekarang akan bertanya apakah pekerjaan bakal menantu mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menutup program Tadarus Al-Quran anjuran Radio Malaysia Terengganu (TerengganuFM) yang melibatkan 60 orang pelajar serta lapan guru pembimbing dari Institut Al-Quran (IQ) di Kuala Terengganu semalam.
Selain itu, katanya kerajaan juga mahu pelajar-pelajar dari Institut Al-Quran dan sekolah-sekolah Imtiaz di negeri ini turut memainkan peranan dengan menjadi contoh kepada rakan sebaya yang lain.
"Diharap dengan perubahan-perubahan yang baik itu, ia dapat melahirkan generasi yang suka membaca dan mempelajari isi kandungan al-Quran itu sendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment