Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) memulakan sirkit pertama TM Fiesta Cabaran Candat Sotong 2010 dengan langkah bergaya apabila menguasai kebanyakan kategori dipertandingkan.
Kumpulan berkenaan yang dianggotai 10 peserta, membawa pulang tunai RM11,100 selepas berjaya meraih RM6,000 setelah menjuarai kategori terberat kumpulan.
Kumpulan YPKT juga berjaya muncul johan kategori terbanyak kumpulan yang menawarkan hadiah tunai RM1,000, selain muncul naib johan kategori terpanjang kumpulan (RM2,000), naib johan kategori terpanjang individu (RM1,500) dan tempat kelima kategori terpanjang individu (RM600).
Ketua Kumpulan YPKT, Syed Shahrom Syed Abu Bakar berkata, ia adalah kejayaan terbesar diraih kumpulan berkenaan sepanjang penyertaan pada program sama.
“Tahun lalu kami menyertai tiga sirkit dan memenangi tunai lebih RM10,000 tetapi kali ini kejayaan kami amat di luar dugaan berikutan ia baru sirkit pertama. Sasaran kami selepas ini adalah menyertai tiga sirkit lain dan mencuba yang terbaik.
“Apa yang kami utamakan sepanjang fiesta ini adalah kerjasama berpasukan. Kebanyakan daripada kami juga memang sudah terbiasa dengan laut dan berpengalaman dalam mencandat. Mungkin ia menjadi kelebihan buat kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian penutup TM Fiesta Cabaran Candat Sotong 2010 sirkit pertama di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bandar Marang.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku.
TM Fiesta Cabaran Candat Sotong 2010 menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM277,000 merangkumi empat sirkit, bermula 27 Mac hingga 26 Jun depan.
Sirkit pertama bermula di Marang (27 Mac), kedua di Besut (24 April), ketiga di Kuala Terengganu (29 Mei) dan akan berakhir di Dungun (26 Jun).
No comments:
Post a Comment