Wednesday, April 28, 2010

11 tangkapan rasuah di Terengganu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu berjaya membuat 11 tangkapan termasuk tujuh kes membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan berkaitan rasuah bagi tempoh suku pertama tahun ini.

Pengarah SPRM Terengganu, Ahmad Saberi Hussain berkata, turut ditangkap adalah dua anggota bomba, seorang kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) termasuk seorang orang awam.

Menurutnya, semua penjawat awam yang ditangkap disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, sementara orang awam terbabit disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM.

“Tangkapan ini juga berdasarkan 120 maklumat berkaitan rasuah yang diterima bagi tempoh suku pertama tahun ini dan daripada jumlah itu, kami telah menyiasat 83 kes.

“Daripada siasatan dilakukan, kami membuka 52 Kertas Penyiasatan Awal (KPA), 16 Kertas Risik (KR) dan tujuh Kertas Siasatan (KS),” katanya selepas merasmikan Kempen Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah peringkat negeri Terengganu di sini yang diadakan serentak oleh SPRM di seluruh negara di Primula Beach Hotel, kelmarin.
Hadir sama, Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Datuk Shukri Dahlan; Pengarah Jabatan Kastam Diraja Terengganu, Datuk Azis Yacub; Pengarah Jabatan Imigresen Terengganu, Mahassan Mustafa dan Pegawai Kemajuan Negeri Terengganu, Ahmad Abdullah.

Beliau berkata, jumlah tangkapan bagi suku pertama tahun ini meningkat berbanding tangkapan sepanjang tahun lalu berjumlah lapan orang.

“Justeru, dalam usaha memerangi rasuah di negeri ini, kami berharap orang awam sedar dan menghindar diri daripada memberi suapan, sementara penjawat awam pula diharap lebih berani tampil melaporkan tawaran rasuah yang dapat membantu kami melakukan tangkapan ke atas pemberi rasuah.

“Seiring itu juga, SPRM akan melaksanakan kempen perangi pemberi rasuah secara besar-besaran untuk menangkap pemberi rasuah yang cuba menawarkan suapan rasuah kepada penjawat awam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Saberi turut mengingatkan penjawat awam di negeri ini agar menunaikan kewajipan mereka melaporkan apa-apa suapan rasuah sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM.

Menurutnya, jika gagal berbuat demikian boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment