Wednesday, April 28, 2010
Melaka mampu menjadi penganjur terbaik
Datuk Seri Mohd Ali Rustam (kiri) menyerahkan surat jemputan SUKMA 2010 kepada Datuk Ahmad Said sempena promosi SUKMA di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Oleh : AIDA ABD RAHMAN (UKOM)
Kerajaan Terengganu berharap Melaka mampu menjadi penganjur Sukan Malaysia (Sukma) yang terbaik, sebagaimana Terengganu ketika menganjurkan Sukma 2008 lalu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata bagi kerajaan negeri, Sukma Ke-12 Terengganu 2008 banyak meninggalkan nostalgia kerana ianya merupakan tahun kejayaan berganda bagi Terengganu.
“Kejayaan menjadi penganjur terbaik sehingga telah diberi pengiktirafan di Dewan Rakyat oleh YAB Perdana Menteri sendiri.
“Terengganu juga berjaya muncul sebagai juara keseluruhan dengan memenangi 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa, di mana kutipan tersebut merupakan 15.02% emas, 9.73% perak dan 9.31% gangsa daripada keseluruhan pingat yang ditawarkan,” kata Dato’ Ahmad ketika berucap di Majlis Karnival Sukma ke-13 Melaka 2010, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, hari ini (27 April).
Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Terengganu bakal menghantar 650 orang peserta melibatkan 460 atlit, 78 jurulatih, 32 pengurus pasukan dan 80 orang urusetia serta merupakan kontinjen terbesar yang pernah dihantar dalam temasya Sukma setakat ini.
Sebanyak 32 daripada 33 sukan akan disertai oleh atlit Terengganu.
Katanya, kejayaan itu meletakkan Terengganu sebagai kuasa baru dalam sukan dan berada dalam tiga negeri yang berjaya menjadi juara ketika menjadi tuan rumah, selain Selangor dan Sarawak.
Beliau berkata, sebanyak 24 rekod baru kejohanan Sukma dan empat rekod baru Kebangsaan berjaya dicipta menerusi lima jenis sukan iaitu angkat berat, berbasikal, kanu, renang dan olahraga.
Dato’ Ahmad berkata, atlit Terengganu sendiri telah berjaya memperbaharui 13 rekod kejohanan dan satu rekod kebangsaan melalui lima sukan berkenaan iaitu angkat berat (1 rekod Sukma), berbasikal (5 rekod) sukma), kanu (5 rekod Sukma dan 1 rekod Kebangsaan), renang (1 rekod Sukma) dan olahraga (1 rekod Sukma)
“Kita berbangga kerana sepanjang kejohanan berlangsung tiada sebarang protes atau aduan. Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin dan Jawatankuasa Juri Rayuan tidak perlu bersidang walaupun sekali.
Ketua Menteri Melaka menunjukkan baju yang dipakai oleh kontijen Terengganu kepada Menteri Besar Terengganu.
“Pingat-pingat yang dimenangi adalah melalui sukan-sukan ‘measurable sports’ dan bukannya sukan-sukan yang subjektif,” katanya.
Malah, penyaluran keputusan pertandingan juga paling efisien dan bersistem, selain cakera padat turut dibekalkan kepada ketua kontinjen pada hari terakhir Sukma ke-12.
Katanya, kemudahan itu bagi memastikan jurulatih dan kontinjen dapat membuat penilaian penuh kepada atlit masing-masing secara analatikal dengan hasrat melalui penilaian terperinci mutu Sukma dapat ditingkatkan.
“Kita juga berbangga kerana sepanjang temasya aspek pengangkutan yang kita beri perhatian yang tinggi akhirnya memberi perkhidmatan yang efisien dan melancarkan perjalanan pertandingan keseluruhan.
“Kerajaan negeri juga berkeyakinan penuh Melaka mampu menjadi penganjur terbaik nanti, di mana dibuktikan dengan promosi Kempen Karnival Sukan Malaysia Ke-13 yang diadakan secara besar-besar di luar negeri Melaka sendiri seperti yang diadakan di Terengganu hari ini,” kata beliau lagi.
Menurut Ahmad Said, mana-mana negeri tuan rumah Sukma tidak pernah mengadakan promosi sebegini di luar negeri masing-masing yang mana ini telah menunjukkan kemampuan Melaka dalam usaha menjadi penganjur yang berjaya bukan sahaja dari segi pengelolaan dan pencapaian, bahkan meningkatkan industri pelancongan.
No comments:
Post a Comment