Friday, April 2, 2010

3.5j pelancong disasarkan ke Terengganu tahun ini

Kerajaan Terengganu mensasarkan kedatangan pelancong seramai 3.5 juta tahun ini berbanding 3.2 juta tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, dalam usaha memajukan sektor pelancongan di Terengganu, kerajaan negeri merupakan pelabur terbesar yang bertanggungjawab menggerakkan sektor berkenaan dan sebahagian besar hasilnya akan dinikmati oleh rakyat.

Menteri Besar yakin dengan kesediaan kerajaan menerajui pembangunan sektor pelancongan di Terengganu dengan membangunkan tarikan-tarikan baru, jumlah pelancong akan terus meningkat.

Antara tarikan-tarikan baru yang bakal menjadi tumpuan pelancong ialah “Kenyir Island Hopping”, Santuari Kelah, Santuari Gajah, Pusat Tekstil, Taman Negara berhampiran Gua Bewah di mana telah dijumpai artifak, iaitu rangka manusia tertua di Malaysia berusia 16,000 tahun.

“Industri-industri kecil yang sedia ada seperti tenunan songket dan batik serta kraftangan berasaskan tembaga dan ukiran tradisional kayu, akan terus menjadi tarikan,” ujarnya.

Beliau menyatakannya pada perasmian Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu, di Dewan Gamelan, Primula Beach Resort, semalam.

Teks ucapan dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Tambah Ahmad Said: “Memandangkan potensi sektor pelancongan dalam menjana ekonomi, Kerajaan Negeri membelanjakan sebahagian besar bajet tahunan untuk menyediakan prasarana untuk menarik lebih ramai pengunjung.”.

No comments:

Post a Comment