Friday, April 2, 2010

UMT Harap Polis Tidak Ambil Masa Lama Siasat Runtuhan

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berharap pihak polis tidak mengambil masa yang lama untuk menyiasat kejadian runtuhan yang berlaku di UMT Isnin lepas.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata ini kerana kejadian itu hanya melibatkan bahagian para besi tempat pekerja pembinaan melakukan kerja dan simen konkrit tangki air Institut Oseanografi dan Institut Akualkultur Tropika UMT.

"Kejadian runtuhan yang berlaku bukan melibatkan bangunan utama yang sedang dibina, bagaimanapun UMT tidak boleh buat apa-apa kalau polis mahu siasat kerana ini sudah jadi kes polis.

"Mungkin polis mahu siasat dalam pelbagai sudut termasuk jika ada faktor kecuaian manusia atau tidak, mengikut peraturan keselamatan dan sebagainya," katanya semalam.

Dalam kejadian petang Isnin itu, seorang buruh warga Bangladesh maut manakala empat lagi rakannya cedera apabila para besi di tingkat empat bangunan institut berkenaan runtuh.

Beliau berkata bangunan itu yang mula dibina pada Disember 2008 dijangka siap mengikut jadual Oktober depan.

Katanya UMT telah menghantar laporan berhubung kejadian itu kepada Canselor UMT iaitu Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dan Kementerian Pengajian Tinggi.

No comments:

Post a Comment