Tuesday, April 20, 2010

50 Juta Benih Kerapu Bakal Diagih

Jabatan Perikanan Terengganu akan membekalkan 50 juta benih ikan kerapu kepada 10 peserta ladang kontrak yang akan dilantik oleh jabatan itu tahun ini.

Pengarah jabatan itu Zakaria Ismail berkata benih ikan kerapu tersebut akan dibeli oleh Jabatan Perikanan daripada sebuah syarikat pengeluar benih ikan di negeri ini.

"Setiap peserta akan menerima lima juta benih kerapu untuk diasuh sehingga mencapai saiz satu inci. Benih kerapu itu kemudiannya akan dibeli balik oleh syarikat pembekal berkenaan pada harga yang telah dipersetujui bersama antara penternak dan syarikat itu," katanya semalam.
Zakaria berkata projek ladang kontrak itu diwujudkan berikutan lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar ke projek ternakan ikan Tanjong Demong, Besut baru-baru ini.
Ia sebagai satu usaha untuk mengatasi masalah benih ikan kerapu yang pada masa ini banyak diimport daripada Indonesia.

Beliau berkata peserta-peserta untuk ladang kontrak itu telah dipilih daripada penternak yang berjaya dalam mengusaha ternakan ikan siakap memandangkan pengalaman mereka yang luas dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata benih kerapu lebih mahal daripada benih siakap iaitu mencecah harga antara RM3 hingga RM3.50 seekor yang bersaiz 8.9 sm, berbanding benih siakap RM1 dan RM1.30 seekor untuk saiz yang sama.

Zakaria berkata dengan adanya projek ladang kontrak ini penternak berkenaan akan mendapat tunjuk ajar dan juga bantuan teknikal daripada jabatan bagi meluaskan lagi pengetahuan mereka dalam bidang asuhan ikan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Perikanan telah memilih lima pengusaha untuk mengasuh anak ikan kerapu bersaiz 2.5 sm dan ke atas dengan 100,000 anak ikan kerapu akan dibekalkan kepada mereka.

Zakaria berkata anak-anak kerapu yang mencapai saiz 7.6 sm kemudian akan dijual semula kepada syarikat pembekal yang sama.

No comments:

Post a Comment