Tuesday, April 20, 2010

Jerteh Souq – Jangan salahkan Ahmad Said


Ahmad Said (tiga dari kiri) mendengar penjelasan kontraktor ketika melawat Medan Selera Jerteh yang sedang di bina. Turut serta ialah ADUN Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh.
Bukan kerana politik. Jangan salahkan kerajaan negeri.

Juga jangan tuduh pentadbiran Datuk Ahmad Said segaja melambat atau menangguhkan peruntukan bagi menyiapkan pembinaan Kompleks Perniagaan Jerteh Souq berharga RM70 juta di Jerteh.

Projek itu terbengkalai kerana menghadapi masalah kerana mutu atau kualiti pembinaannya yang rendah, bukan akibat isu dalaman politik.

Pembangunan Jerteh Souq meliputi pembinaan infrastruktur secara bersepadu yang membabitkan kawasan sepanjang 700 meter melalui pesisir Sungai Jerteh sehingga ke Masjid Hadhari di bandar berkenaan.

Berikutan itu kerajaan negeri bersedia mengkaji semula projek yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu selepas menerima laporan daripada pihak konsultan yang bertanggungjawab membina bangunan tersebut tidak lama lagi.

"Kita menunggu laporan projek berkenaan dan jika perlu, kerajaan negeri akan meneruskannya. Bagaimanapun, ia membabitkan masalah teknikal yang menyebabkan tindakan segera tidak boleh dilakukan.

"Projek itu terbengkalai bukan kerana masalah kewangan atau politik, tetapi pembinaannya tidak mengikut peraturan ditetapkan. Kita akan lantik juruperunding untuk melihat kembali sebarang keperluan bagi membolehkan pembinaannya diteruskan," katanya.

Sekiranya laporan tersebut dapat membuktikan bangunan bernilai RM70 juta itu masih boleh diperbaiki mengikut piawaian ditetapkan, kerajaan negeri sedia menyambung semula pembinaannya.

Itulah janji Menteri selepas melawat kawasan pembinaan Medan Selera Majlis Daerah Besut di Jerteh pada 11 April lalu. Turut hadir, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih.

Jertih Souq adalah projek mega di atas tapak sepanjang 700 meter di pesisir Sungai Jertih yang dibuat dalam beberapa fasa. Apabila siap kelak, ia mempunyai pasar basah, pasar kering, rangkaian lot kedai serta dilengkapi perhentian bas dan teksi.

Ahmad Said menjelaskan perkara itu berikutan beberapa kenyataan sebelum ini, termasuk oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Datuk Seri idris Jusoh yang mahukan projek itu diteruskan segera.

Pada pertengahan Mac lalu, Idris berkata Jerteh Souq sepatutnya disiapkan tahun ini dan menimbulkan kesulitan kepada banyak pihak. Katanya, ini terutama di kalangan peniaga serta penduduk setempat yang menyebabkan mereka terpaksa berniaga dalam keadaan tidak selesa.

"Sehingga kini status sebenar projek itu tidak banyak diketahui dan MDB selaku pihak yang bertanggungjawab perlu memberi penjelasan mengenai apa yang sebenarnya berlaku," katanya.

Katanya, golongan peniaga kecil kecewa apabila hampir tiga tahun mereka berpindah untuk memberi laluan kepada pembinaan projek berkenaan, namun projek tersebut sehingga kini masih gagal disiapkan.

"Kalau mengikut perancangan fasa pertama, peniaga kecil ini sepatutnya sudah boleh menjalankan perniagaan di Jerteh Souq dalam keadaan lebih selesa di pasar yang serba moden," jelasnya.

Berikutan itu, Idris meminta Majlis Daerah Besut (MDB) mengambil langkah segera bagi memastikan pembinaan projek Jerteh Souq diteruskan demi keperluan peniaga dan orang ramai.

Mengulas lanjut, Ahmad Said berkata, sehingga kini kerajaan negeri masih menunggu pihak konsultan menghantar laporan secara terperinci mengenai masalah yang dihadapi.

''Bagaimanapun untuk pembinaan fasa pertama, sebuah pasar kering bernilai RM22 juta bakal dibina namun disebabkan beberapa masalah teknikal yang berlaku menyebabkan ia tidak dapat diteruskan walaupun telah siap hampir 66 peratus dibina," katanya.

1 comment:

  1. Tandas kotor walaupun dikenakan caj 30 sen sekali masuk...huhu

    ReplyDelete