Tuesday, April 27, 2010

Ahmad Tirmizi Peserta Terbaik Hafaz Al-Quran


AHMAD Tirmizi Ali dari Terengganu (kiri) bersama Siti Nadhira Mohd Shafie dari Selangor mendapat terbaik keseluruhan menghafaz Al-Quran bagi Kategori Lelaki dan Wanita pada majlis penutup Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-31 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, malam kelmarin.

Ketekunan mengulang kaji sekurang-kurangnya 10 juzuk Al-Quran setiap hari membolehkan Ahmad Tirmizi Ali dari Terengganu dinobatkan sebagai peserta terbaik lelaki pada Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-31 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, malam kelmarin.

Beliau yang mula berjinak dengan menghafaz Al-Quran sejak berusia lima tahun berkata minat dan ketekunannya itu disemarakkan lagi dengan dorongan daripada kedua ibu bapa dan guru yang mengajarnya kaedah sistematik Al-Huffaz.

Ahmad Tirmizi, 25, graduan dari Universiti Al-Azhar, Mesir, muncul johan kategori menghafaz Al-Quran juzuk satu hingga 10 dengan memperolehi 99.19 peratus markah.

Bercakap kepada pemberita, beliau yang menjawat jawatan Pengurus Masjid Al-Hidayah di Kelana Jaya, Selangor berkata, beliau akan sentiasa menyebarkan ilmu menghafaz Al-Quran kepada masyarakat terutama generasi muda.

Menurutnya amalan lain yang dipraktikkan beliau bagi memudahkan menghafaz Al-Quran ialah beliau sedaya upaya mengambil makanan dan minuman daripada sumber halal.

Sementara itu peserta dari Selangor, Siti Nadhira Mohd Shafie, 17, yang dipilih sebagai peserta terbaik wanita pada majlis itu, mula menghafaz Al-Quran pada usia tujuh tahun.

Beliau berkata bapanya Mohd Shafie Mat Amin yang merupakan Pengerusi Maahad Tahfiz Al-Ikhwan di Ampang, Selangor banyak memberi galakkan dan tunjuk ajar bagaimana untuk menjadi seorang huffaz yang baik.

Siti Nadhira, pelajar jurusan Diploma Penterjemahan Al-Quran di Maahad berkenaan berkata beliau selalu membaca Al-Quran berulang kali selain daripada menunaikan solat hajat untuk memastikan ilmu itu tidak hilang begitu sahaja.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah dipilih sebagai peserta terbaik," kata anak keenam daripada 13 adik beradik itu, yang sudah empat kali menyertai pertandingan tersebut sejak 2007.

Beliau yang bercita-cita menjadi pendakwah muncul johan bagi kategori menghafal Al-Quran juzuk satu hingga 30 dengan memperolehi 97.33 peratus markah.

Majlis menghafaz Al-Quran itu mempertandingkan tiga tahap iaitu tahap 1 (juzuk satu hingga 10), tahap 2 (juzuk satu hingga 20) dan tahap 3 (juzuk satu hingga 30), melibatkan 73 orang perserta yang berusia antara tujuh dan 25 tahun.

Johan kategori menghafaz juzuk satu hingga 30 membawa pulang pakej menunaikan haji, wang tunai RM10,000, piala iringan dan sijil penyertaan manakala johan kategori menghafaz juzuk satu hingga 20 menerima pakej menunaikan umrah, wang tunai RM6,000, piala iringan dan sijil penyertaan; manakala johan kategori menghafaz juzuk satu hingga 10 menerima wang tunai RM4,000, piala iringan dan sijil penyerataan.

Hadiah kepada peserta disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

No comments:

Post a Comment