Wednesday, April 28, 2010

Azizulhasni, Nicol Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan 2009

PELUMBA basikal negara, Azizulhasni Awang (kiri) yang dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2009 menerima trofi daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin disaksikan oleh Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkeplas Embong, pada majlis Anugerah Sukan Negara, di Kuala Lumpur, 27 April.

Syabas kepada pelumba basikal Mohd Azizulhasni Awang dan ratu skuasy Datuk Nicol Ann David.

Semalam mereka dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2009 berdasarkan pencapaian mereka pada kejohanan peringkat dunia tahun lepas.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah utama Anugerah Sukan Negara 2009 tersebut, yang masing-masing diiringi ganjaran RM10,000, kepada kedua-dua pemenang itu.

Ia diadakan sebuah hotel di Kuala Lumpur malam semalam.

Bagaimanapun, Nicol yang memenangi anugerah itu buat tahun ketujuh termasuk lima kali berturut-turut sejak anugerah 2005 tidak dapat hadir kerana masih berlatih di Amsterdam.

Malam ini merupakan julung kali Azizulhasni, 22, diiktiraf olahragawan negara.

Pelumba trek yang berpengkalan di Melbourne, Australia itu menduduki ranking pertama Siri Piala Dunia musim lepas dan turut berada pada kedudukan pertama ranking dunia bagi acara Keirin sehingga Mac 2009.

Pelumba yang dibimbing jurulatih Australia, John Beasley, begitu konsisten sepanjang tahun lepas dengan memulakan pungutan pingat dengan meraih perak dalam acara Keirin pada Kejohanan Dunia di Poland pada Mac sebelum mendapat emas dalam acara yang sama pada Kejohanan Dunia di Beijing, pada April.

Beliau yang berasal dari Terengganu kemudian memperoleh pingat perak dalam acara Keirin pada Kejohanan Piala Dunia di Melbourne November lepas.

Kejayaan konsisten Azizulhasni di kejohanan dunia membolehkan pelumba tersebut mengetepikan calon lain terutama penyandang tahun lepas, Datuk Lee Chong Wei daripada sukan badminton.

Antara calon lain yang tersenarai ialah Sazali Abdul Samad (bina badan), Loh Jack Chang (wushu) dan Zulmazran Zulkifli (tenpin boling).

Nicol, 27, pula terus mendominasi anugerah itu dengan statusnya sebagai pemain skuasy wanita nombor satu dunia, sejak kali pertama menduduki ranking tersebut pada Ogos 2006 sehingga kini.

Atlet dari Pulau Pinang itu juga pernah menerima anugerah yang sama pada 1999 dan 2003.

Sepanjang tahun lepas, Nicol muncul juara dalam enam kejohanan dan dua naib juara, pada kejohanan di peringkat dunia.

Nicol memulakan kempen 2009 dengan muncul naib juara pada Terbuka Kuala Lumpur (Mac), naib juara Terbuka Caymen Islands (Mei) dan seterusnya menjadi juara pada Terbuka Texas (Mei), Terbuka Seoul (Jun), Terbuka Malaysia (Julai), Masters Singapura (Ogos), Terbuka Dunia di Amsterdam (September) dan Terbuka Hong Kong (Oktober).

Calon olahragawati yang lain ialah Wong Pei Tty/Chin Eei Hui (badminton), Siow Yi Ting (renang) dan Noraseela Khalid (olahraga).

Kejayaan menamatkan kemarau emas selama 20 tahun dalam acara bola sepak pada Sukan SEA di Laos Disember lepas membolehkan skuad bola sepak ke temasya tersebut dinamakan sebagai penerima anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan.

Senarai pemenang Anugerah Sukan Negara 2009:

Olahragawan Kebangsaan - Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal)

Olahragawati Kebangsaan - Datuk Nicol Ann David (skuasy)

Pasukan Lelaki Kebangsaan - Skuad Bola Sepak Sukan SEA di Laos

(Ahmad Fakri Shaarani, Amar Rohidan, Mazlizam Mohamad, Mohd Farizal Marlias, Mohd Baddrol Bakhtiar, Mohd Sabre Mat Abu, Mohd Amirulhadi Zainal, Mohd Asrarruddin Putra, Mohd Nasriq Baharom, S.Kunalan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, Mohamad Zakuan Adha Abd Razak, Abdul Manaf Mamat, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, K.Gurusamy, Mahalli Jasuli, Mohamad Muslim Ahmad, Mohamad Azmi Muslim Norshahrul Idlan Talaha dan Safiq Rahim).

Pasukan Wanita Kebangsaan - Leong Mun Yee, Pandelela Rinong (terjun)

Olahragawan Paralimpik Kebangsaan - Mohamad Salam Sidik (memanah)

Olahragawati Paralimpik Kebangsaan - Norhayati Sarnoh (boling padang)

Jurulatih Lelaki Kebangsaan - K.Rajagobal (bola sepak lelaki), Yoong Thong Foong (wushu)

Jurulatih Wanita Kebangsaan - Tiada pemenang

Anugerah Kepimpinan Kebangsaan - Mendiang Edmund Yong (golf)

Anugerah Tokoh Sukan - Tiada pemenang

Anugerah Khas - Dr T. Ponniyah (karate)

No comments:

Post a Comment