Saturday, April 10, 2010

Bank Islam buka satu lagi cawangan di Terengganu

Pengurus Besar Perhubungan Strategik Bank Islam Datuk Wan Ismail Wan Yusoh berkata berikutan sambutan menggalakkan yang diterima, satu lagi cawangan Bank Islam akan dibuka di Terengganu, Julai ini.

"Ia akan menjadikan jumlah cawangan Bank Islam di Terengganu kepada lima buah.
Cawangan baru ini akan dibuka di pasaraya Giant, Jalan Hiliran, dekat sini yang diharap dapat mengurangkan kesesakan di empat cawangan sedia ada," katanya.

Selain Terengganu, institusi kewangan yang merupakan anak syarikat kepada BIMB Holdings Bhd dan ditubuhkan sebagai bank Islam pertama di negara ini, mempunyai 100 cawangan dan lebih 750 terminal layan diri di seluruh negara.

Sehingga kini, Bank Islam menawarkan lebih daripada 50 produk dan perkhidmatan perbankan berlandaskan Syariah untuk memenuhi keperluan umat Islam dan juga bukan Islam.

Wan Ismail sebelum itu menyampaikan sumbangan berjumlah RM120,000 dan 1,400 Al Quran kepada penduduk miskin dan organisasi, menerusi program tanggung jawab korporat yang dikenali sebagai Amal Jariah@Waqaf Al-Quran.

Sumbangan Amal Jariah itu membabitkan 0.3 peratus daripada urus niaga kad kredit pelanggan bank semasa Ramadan tahun lepas, manakala Al-Quran yang diwaqafkan itu hasil sumbangan peribadi pemegang kad Bank Islam.

Sejumlah RM5.5 juta diperuntukkan oleh Bank Islam untuk program tanggung jawab korporat tahun ini.
Penolong Pengurus Besar Pusat Kad bank itu, Muhammad Izmir Chan Abdullah pula berkata kad Kredit Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) masih menjadi pilihan pengguna walau pun kerajaan telah memperkenalkan cukai perkhidmatan kad kredit sebanyak RM50 setahun untuk kad kredit utama, kad caj dan kad yang diberikan percuma serta RM25 setahun untuk kad kredit tambahan.

Katanya, penggunaannya hingga kini masih lagi mencatat pertumbuhan positif.

"Penggunaan kad kredit Bank Islam secara puratanya mencecah RM70 juta sebulan, dan sehingga kini kita mempunyai kira-kira 500,000 pemegang kad sejak ia diperkenalkan lapan tahun lalu," katanya semalam.
Turut hadir ialah pengurus Kawasan Timur Wan Rosita Wan Mohamed.

No comments:

Post a Comment