Saturday, April 10, 2010

Caruman KWSP boleh diguna untuk baiki rumah terbakar

Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini boleh mengeluarkan wang simpanan masing-masing untuk membina semula rumah mereka yang musnah dalam kebakaran, kata Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussein.

Beliau berkata, bagi yang memenuhi segala syarat yang diperlukan, mereka akan memperolehi wang berkenaan dalam tempoh 10 hari selepas mengemukakan permohonan bagi mendapatkannya.

"Antara syarat utama adalah mendapat pengesahan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat serta polis,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibubapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Kandis, Bachok semalam.

Beliau berkata, selain itu mereka juga dikehendaki mengemukakan gambar kebakaran rumah mereka kepada kedua-dua pasukan itu yang berdekatan untuk membolehkan penilaian jumlah yang sepatutnya dapat dikeluarkan.

Awang berkata, bagaimanapun pengeluaran yang layak bergantung kepada simpanan yang ada dalam akaun kedua, manakala wang yang ada dalam akaun pertama tidak boleh dikeluarkan kerana ia khusus untuk simpanan di hari tua.

1 comment: