Bekalan gas luar pantai Petronas Gas Bhd di Terengganu sekarang dianggarkan dapat menampung permintaan hingga 2021, dengan tanda-tanda awal pengurangan dijangkakan menjelang 2017, demikian menurut sebuah firma penyelidikan.
"Selepas itu, bekalan gas baru dijangka diperoleh dari pembangunan gas asli cecair (LNG) Petronas di Australia, misalnya di Curtis Island, Australia," kata MIDF Research dalam satu nota penyelidikan.
Ia berkata sumber-sumber yang diperoleh dari rantau itu oleh Petronas Gas sebahagian besarnya adalah gas jalur arang batu dan gas metana batu bara.
MIDF Research berkata Petronas Gas menepati jadualnya untuk menyiapkan loji kuasa 300 megawatnya yang berharga RM1.0 bilion, di Kimanis, Sabah menjelang 2013.
Firma penyelidikan itu juga berkata operasi dan kerja-kerja penyenggaraan akan dilaksanakan melalui usaha sama 60:40 antara Petronas Gas dan Yayasan Sabah apabila siap kelak.
"Bekalan gas itu akan disalurkan dari medan laut dalam di luar pantai Sabah dan dipindahkan ke Kimanis sebelum disalurkan keluar ke kompleks LNG Bintulu menerusi Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak sepanjang 500 kilometer yang sedang dibina sekarang," jelasnya.
Apabila siap kelak, loji kuasa itu akan menyalurkan gas bagi memenuhi permintaan di Sabah, kata MIDF Research.
No comments:
Post a Comment