Thursday, April 8, 2010

FOKUS – PAS sokong Kerajaan Negeri tuntut royalty minyak

Oleh Hambali Abdul Latiff

Ahmad Said memperkatakan sesuatu sehinggakan Wahid Endut dan Datuk Seri Hadi Awang begitu berminat mendengar. Apakah isu royalti minyak diperbualkan mereka?

Memang tepatlah seperti dijangka apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kali ke 12 yang dirasmikan sidangnya Isnin lalu terus bergema dengan isu royalti apabila beberapa ADUN PAS memperkatakan perkaRa itu pada sidang kali ini.

PAS melihat medan ini penting untuknya menyatakan ‘hasrat rakyat’ dan dengan kedudukan kerajaan negeri pimpinan Datuk Ahmad Said tidak menarik balik saman kerajaan di zaman PAS dahulu ke atas Petronas dan kerajaan Pusat, ini menambahkan lagi kecenderungan PAS memperkatakannya.

Pastinya apabila menggulung hari ini, Ahmad Said akan turut memperkatakan isu ini serta jawapan mengenai status rundingan mengenai royalty yang telah dan akan berlangsung.

Isu ini sebenarnya menguji sejauh mana sikap kerajaan negeri dan ADUN BN kerana mereka juga yang akan mendapat manfaat sepenuhnya jika royalti dikembalikan.

Jika kelmarin usul membahaskan isu ini ditolak dan pada sebelah petangnya ketika membahaskan usul, Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) turut memperkatakan mengenainya, semalam Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS – Rhu Rendang) menyambungnya.

Hadi ketika membahaskan membahaskan usul ucapan perasmian penggal ketiga Dewan Undangan Negeri Kedua Belas, semalam mengatakan PAS menyokong usaha kerajaan Barisan Negeri (BN) dalam soal tuntutan royalti jika ia bertegas berdepan kerajaan Pusat.

Menurut Hadi, perkara ini tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang tidak penting kerana sudah 10 tahun kerajaan Pusat ‘menganianya’ Terengganu.

Dan kelmarin, di luar Dewan, Hadi yang juga Presiden PAS membuat sidang media untuk menyatakan bahawa PAS menggesa kerajaan negeri Terengganu mengambil tanggungjawab yang serius, menuntut semula hak pembayaran royalti petroleum dari kerajaan pusat.

Hadi berkata tindakan tersebut adalah perjuangan menuntut dan memastikan keadilan bagi semua.

Menurut laporan sebuah laman web PAS, sehubungan itu, Persidangan DUN perlu membahas dan memutuskan satu resolusi mendesak kerajaan pusat memulangkan semula hak rakyat Terengganu.

“Ini suatu perjuangan untuk keadilan bagi semua (rakyat) dan kita (PAS) mempunyai suatu harapan yang besar supaya kerajaan negeri Terengganu mengambil suatu tanggungjawab yang serius agar suatu perbahasan dapat diadakan dan diputuskan satu resolusi untuk mendesak kerajaan pusat supaya memulang balik (royalti) hak rakyat negeri Terengganu,” tegasnya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri Terengganu, kelmarin.

Kenyataan beliau adalah berikutan satu usul yang dikemukakan oleh Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkaitan isu terbabit, dalam sesi pagi Persidangan DUN. Usul itu kemudiannya ditolak dari dibahaskan oleh Speaker dengan alasan ia sedang dirundingkan.

Pemberian royalti wujud di negeri Terengganu dan negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak, kata Hadi, adalah hasil dari satu persefahaman yang dilakukan di zaman almarhum Tun Abdul Razak.

Persefahaman tersebut, jelasnya, ditandatangani oleh semua Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri dari Perlis hingga ke Sabah.

“Apabila mereka (kerajaan pusat) bersetuju dengan perbincangan itu untuk menggubal Akta Petroleum dan menubuhkan Syarikat Petronas.

“Apabila negeri-negeri bersedia menyerahkan sekiranya ada hasil petroleum di daratan yang pada asalnya menjadi milik negeri.

“Persetujuan telah dibuat sekiranya ada hasil di darat atau di laut semuanya diserahkan kepada Petronas dan Petronas hendaklah menyerahkan royalti sebanyak lima peratus dari hasil jualan kepada mana-mana negeri yang ada hasil petroleum,” jelasnya.

Beliau mendakwa bayaran royalti petroleum Terengganu ‘dirampas’ melalui satu keputusan politik pada Perhimpunan Agung UMNO 2000.

Bahkan, katanya sewaktu pemerintahan PAS Terengganu royalti masih dibayar pada bulan Mac tahun 2000.

“Di Terengganu, ianya berlangsung (bayaran royalti) sejak itu (perjanjian) hingga tahun 2000 apabila, kami (PAS) mengambil-alih pemerintahan di negeri Terengganu dan pada bulan Mac tahun 2000 masih dibayar royalti ini.

“Tiba-tiba dalam Perhimpunan Agung Umno tahun 2000, mereka (pemimpin Umno) telah memutuskan melalui Mesyuarat Agung Umno itu satu keputusan politik untuk ‘merampas’ royalti ini dari negeri Terengganu,” ujarnya.

Katanya, ini merupakan suatu pencabulan terhadap perjanjian yang telah dibuat serta pencabulan juga terhadap semangat federalisma.

Apa yang menarik, kata Hadi kenyataan ini disokong oleh bekas Ketua Hakim Negera, Tun Salleh Abas, disokong oleh bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah dan disokong juga oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam.

“Ini suatu perkembangan yang sangat menarik dan usul ini dibawa pada hari ini (Persidangan Dun) bukan di atas sentimen parti tetapi atas nama kewajipan seluruh rakyat negeri Terengganu tanpa mengira fahaman politik, tanpa mengira anutan mereka,” tegasnya.

Hadir sama pada sidang media tersebut Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Adun Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut, Adun Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah, Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, Adun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak dan Adun Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.

Hakikatnya apa yang diperkatakan oleh PAS mempunyai asas namun cara dan bentuk apa wang berkenaan akan dipulangkan kepada Terengganu mungkin berbeza.

Datuk Seri Najib Razak sendiri ketika menjelang pilihan raya kecil Kuala Terengganu mengatakan royalti akan diberikan balik kepada kerajaan negeri Terengganu, walaupun sampai kini ia belum diberikan.

Namun, yang diberikan pula adalah dalam bentuk wang ehsan dan jumlahnya bukannya 5 peratus sebagaimana yang dinikmati kerajaan negeri sebelum ini.

Seluruh rakyat Terengganu kini menunggu pengumuman kerajaan Pusat selepas rundingan demi rundingan sudah dilakukan.

Apakah Terengganu akan mendapat balik wang miliknya lebih RM1.7 bilion, tidak termasuk sebahagian bayaran untuk tahun lepas dan tahun ini.

No comments:

Post a Comment