Berita Harian
MENTERI Besar (empat dari kanan), menyerahkan sumbangan untuk program Boat On The Road 2010 kepada Ahmad di LTSM, Kuala Terengganu, Ahad lalu. Turut hadir (dari kiri), Toh, Za'abar dan Mazlan serta Kamal (kanan).
Habuan RM10,000 untuk pemenang program memancing 'Boat on The Road' di Tasik Kenyir, Terengganu pada 7 hingga 9 Mei ini digandakan dengan tawaran RM20,000 daripada Kerajaan Negeri Terengganu kepada peserta yang memperoleh ikan naga (Arapaima gigas).
Program tiga hari itu anjuran TV3 dan Unit Joran Berita Harian dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu yang bertujuan membantu mempromosikan sukan memancing di tasik itu serta pelbagai produk baru pelancongan di sana.
Bagi menjayakan program itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, menyerahkan sumbangan RM150,000 bagi membiayai sebahagian kos penganjurannya kepada Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A Talib, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini.
Kerajaan negeri sebelum ini menawarkan RM10,000 kepada pemancing yang berjaya menaikkan ikan dari Amazon itu yang dikatakan terlepas ke Tasik Kenyir, bagi mengelaknya membiak serta mengancam spesies ikan tempatan.
“Sesiapa yang berjaya ikan naga itu menerima RM10,000 dan sempena program ini hadiahnya dinaikkan kepada RM20,000,” katanya.
Hadir sama pada sidang media itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Toh Chin Yaw; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib, dan Editor Lidah Pengarang Berita Harian, Kamal Ahmad.
Ahmad berkata, program memancing itu dijadual diadakan di Sungai Mandak, Tasik Kenyir dan menguatkuasakan konsep tangkap dan lepas. Spesies sasaran ialah ikan toman dan sebarau selain peluang memperoleh kalui, baung, dan tapah.
Sementara itu, Ahmad berkata, program itu dijangka membabitkan 150 hingga 200 peserta menaiki 50 kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang melakukan konvoi dari Sri Pentas, Kuala Lumpur ke Tasik Kenyir pada jam 8 pagi, 7 Mei ini melalui Kemaman dan Dungun sebelum memasuki jalan pintas ke Bukit Besi kemudian Kuala Berang menuju Tasik Kenyir.
Program ‘Boat On The Road’ dianjurkan sempena slot siaran Jelajah Joran TV3 yang dijadualkan ke udara pertengahan Mei ini.
“TV3 dan Berita Harian sangat berbesar hati kerana pemimpin besar seperti Datuk Ahmad Said sudi menyertai serta mengetuai ekspedisi konvoi ini. Kami sangat berbangga dengan kesudian kerajaan negeri memberi kerjasama serta sumbangan untuk menjayakan program ini.
“Kita yakin program ini akan membantu Kerajaan Terengganu mempromosikan Tasik Kenyir dan Terengganu sebagai destinasi memancing yang sangat menarik di negara ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Said memberitahu setiap peserta dikenakan yuran RM250 untuk menikmati pakej penginapan di resort, jamuan makan malam dan cenderamata. Peserta juga menikmati tujuh kali hidangan makan di atas bot yang kebanyakan dilengkapi siaran televisyen satelit.
“Program ini bukan setakat memancing tetapi menikmati percutian dan hidangan makanan yang cukup menyeronokkan,” katanya.
Keterangan lanjut: 013-3310166 (Umbai)/019-3419991 (Kamal).
No comments:
Post a Comment