Saturday, April 24, 2010

DUN Manir sediakan pusat perubatan masyarakat

Utusan Malaysia

DOKTOR dari pertubuhan Sukarelawan Perubatan Bebas yang diketuai oleh Dr. Rushdan Ismail (kanan) memeriksa kesihatan seorang warga emas pada program rawatan perubatan masyarakat di Kampung Pulau Bahagia, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Lazimnya pesakit akan ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan doktor atau pun mengambil ubat-ubatan jika mereka sakit dengan dikenakan bayaran untuk setiap jenis rawatan dan ubat-ubatan yang diterima.

Lebih menyukarkan, ada sesetengah pesakit golongan warga emas tidak mampu untuk ke hospital kerana tidak boleh bergerak, tiada kenderaan serta kesempitan wang.

Bagi mengatasi masalah tersebut, Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir dekat Kuala Terengganui mengadakan Pusat Rawatan Perubatan Masyarakat DUN Manir mempunyai pendekatan tersendiri dengan menyediakan khidmat doktor yang dibawa ke penempatan penduduk bagi merawat pesakit mereka.

Sudahlah begitu, rawatan yang dikenakan pula percuma tidak kira apa sahaja jenis ubat yang diambil dan rawatan yang dikenakan.

Pegawai Pembangunan DUN Manir selaku penganjur, Yusof Awang Hitam, 46, berkata pusat rawatan tersebut merupakan ideanya untuk memudahkan masyarakat mendapatkan rawatan setanding rawatan di klinik dan hospital biasa.

Katanya, seramai 18 orang doktor daripada pertubuhan Sukarelawan Perubatan Bebas (Superb) menjadi sukarelawan untuk merawat penduduk di kawasan tersebut bermula Januari lalu.

“Pusat rawatan ini dibuka setiap Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang namun sekiranya pesakit masih ramai, kebanyakan doktor tetap meneruskan khidmat mereka walaupun telah tamat masa operasi.

“Tiada bayaran dikenakan namun khidmat rawatan masih yang terbaik seperti di klinik dan hospital biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Manir baru-baru ini.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini ke Kampung Batu Hampar, Manir di sini untuk melihat sendiri Pusat Rawatan Perubatan Masyarakat DUN Manir atau lebih dikenali dengan nama ‘klinik’ percuma itu seperti yang digambarkan apabila ramai pesakit yang memenuhi ruang menunggu klinik itu.

Tidak sukar mencari lokasi pusat rawatan tersebut kerana ia ditempatkan di sebuah dewan komuniti yang sering menjadi tumpuan penduduk kampung dan orang ramai setiap kali program atau acara kemasyarakatan diadakan.

Walaupun dewan tersebut tidak luas namun mampu menempatkan lima buah bilik rawatan dengan kelengkapan katil dan alat pemeriksaan kesihatan.

Tambahnya, sejak ia dibuka, lebih 80 pesakit mengunjungi pusat rawatan tersebut setiap hari.
Jelasnya, kebanyakan mereka terdiri daripada warga emas dan kanak-kanak yang tidak mempunyai penyakit kronik.

“Ramai pesakit yang datang meminta saya mengekalkan pusat perubatan ini sepanjang tahun bagi memudahkan mereka memeriksa kesihatan tanpa perlu ke hospital yang terletak jauh daripada kawasan berkenaan.

“Kita memang ada perancangan untuk membuka klinik ini lebih kerap namun setakat ini kita hanya membukanya setiap Jumaat sahaja memandangkan doktor-doktor ini perlu bertugas pada hari lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Superb, Dr. Rushdan Ismail berkata, warga Superb menyambut baik penganjuran pusat rawatan tersebut kerana memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Katanya, sebelum ini Superb sering mengadakan program turun ke kampung-kampung bagi merawat pesakit yang kronik dan sukar untuk ke hospital.

“Kita bukan sahaja bekerjasama dengan penganjur mengadakan pusat rawatan percuma namun kita juga turun ke kawasan-kawasan pedalaman untuk memberi perkhidmatan kepada pesakit.

“Kami menjalankan tugas dengan ikhlas dan tidak meminta bayaran...asalkan penduduk kampung gembira kami juga berpuas hati,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment