Oleh Hambali Abdul Latiff
Wahid Endut dan Datuk Tengku Hassan berbual mesra dengan ADUN Barisan Nasional, termasuk Ahmad Said serta Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Razak Ismail.
Bukan sahaja tiada kata kesat atau cabar mencabar. Malah, pertikaman lidah yang sering berlaku pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu langsung tidak berlaku semalam.
Sidang DUN ke 12 semalam seharian berjalan dengan teratur dan penuh kemesraan. Sehingga jam 5 petang apabila sidang ditangguh, jelas suasana yang harmoni dan keakraban di kalangan ADUN terus berlaku.
Kenapa saya katakan demikian?
Ahmad Said bersalaman dan berbual mesra dengan Datuk Rosol Wahid. – Gambar Zulkifli Putra
Bukan sahaja ‘keakraban’ semakin terjalin antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) tetapi juga berlaku antara ADUN BN dan pembangkang (PAS).
‘Pertemuan dan perbualan mesra’ Datuk Ahmad Said dan Datuk Rasol Wahid (BN-Ajil) ketika rehat mendapat perhatian ramai.
Sementara kemesraan ditunjukkan oleh beberapa ADUN BN dan PAS ketika minum pada sebelah petang juga menggambarkan suasana kemesraan.
Ahmad Said sempat berbual mesra dengan ADUN Ladang, Datuk Tengku Hassan Omar, yang pernah menduduki jawatan tinggi dalam kerajaan Terengganu.
Kemesraan bukan sahaja ditunjukkan ketika menikmati hidangan tetapi dalam perbahasan atau mencelah ketika perbahasan menimbulkan kelucuan dan ketawa di kalangan anggota dewan, pegawai kerajaan dan pemerhati.
Paling menonjol semalam ialah Abdul Wahid yang bukan sahaja berbahas secara teratur dan bermaklumat tetapi sempat menyindir BN dengan cara jenakanya.
Wahid jelas menggunakan pengalamannya di Dewan Rakyat apabila mengaitkan banyak perkara khususnya isu royalti minyak yang menurutnya Terengganu dinafikan haknya hampir 10 tahun sejak tahun 2000.
Ketika membahaskan usul terima kasih titah perasmian Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud, pada Persidangan DUN semalam (6 April 2010), beliau juga mengatakan malu apabila berada di Dewan Rakyat kerana rakan-rakan pembangkang sering mengusiknya sebagai mewakili negeri yang penuh dengan kejadian runtuh, bocor, mendap dan apa saja.
“Sebab itu, jangan terlalu banyak projek diberikan kepada OKU.
Mereka yang berada di dalam dewan tertanya-tanya apa pula kaitkan projek pembinaan dengan OKU?
“Orang Kuat UMNO,” sindir Abdul Wahid disambut dengan ketawa sebahagian anggota dewan dan pemerhati.
Beliau mencadangkan satu Kertas Putih disediakan kerajaan negeri mengenai projek yang runtuh, mendap, bocor dan sebagainya yang disifatkan beliau merugikan rakyat dan memalukan.
Cuma mengecewakan sedikit, ucapan Wahid walaupun ada yang boleh dipertikaikan umpamanya dalam isu mengaitkan Datuk Seri Mohd Najib Razak an Altantuya, isu kononnya Israel dan Yahudi bersekongkol dengan Kerajaan Pusat serta Kertas Putih mengenai Perhutanan Terengganu tidak mendapat reaksi sewajarnya daripada ADUN BN.
Ada yang bangun mengganggu Wahid. Bagaimanapun mereka nampaknya bagaikan tiada modal untuk berbahas malah menggambarkan betapa ceteknya pengetahuan mereka mengenai isu nasional.
Persidangan bersambung hari ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said memperkatakan sesuatu kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Dr Syed Azman Syed Nawawi (PAS-Batu Buruk) turut tersenyum.
No comments:
Post a Comment