Friday, April 9, 2010

FOKUS - Kerajaan Negeri mampu urus dua isu yang mahu dijadikan usul

Oleh Hambali Abdul Latiff

Dua usul PAS ditolak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu selama empat hari berakhir semalam mempunyai sebab tersendiri.



















Menteri Besar menjawab soalan wartawan di luar persidangan DUN yang berakhir semalam.


Walaupun dua usul berkenaan dilihat mustahak dan berkepentingan khusus, namun ia tidak mustahak untuk dibincangkan dengan segera.

Dua usul itu ialah royalti minyak dan masalah mengenai mat rempit di negeri itu.

Usul mengenai royalti minyak dibentangkan oleh Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) di bawah peraturan Majlis Mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap DUN Terengganu.

Dr Syed Azman bangkit pada hari kedua persidangan memohon mencadangkan bahawa persidangan itu hendaklah ditangguhkan mengikut fasa berkenaan bagi membolehkan dewan merundingkan isu penarikan balik royalti minyak yang berpanjangan hampir 10 tahun.

Katanya penarikan royalti minyak oleh kerajaan pusat daripada kerajaan Terengganu itu merupakan satu pencabulan kepada prinsip demokrasi, konsep federalisma serta melanggar perlembagaan negara ini.

Usul masalah mat rempit pula dibawa Mohd Nor Hamzah (Pas-Bukit Payong) juga di bawah peraturan Majlis Mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap DUN Terengganu. Bagaimanapun kedua-dua usul ini ditolak oleh Speaker Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Menggulung perbahasan di akhir sidang itu, Menteri Besar Datuk Ahmad Said tidak menyebut secara khusus kedua-dua isu yang dianggap penting oleh PAS itu.

Mungkin Ahmad Said atau kerajaan negeri mempunyai sebab tersendiri untuk tidak melayan usul berkenaan.

Dalam konteks wang ehsan dan royalti, nampaknya kerajaan negeri memikirkan cara rundingan dengan Kerajaan Pusat dan Petronas lebih berkesan.

Kalaupun dibahas di DUN, ia tidak memberikan kesan apa-apa kerana Kerajaan Pusat lebih tahu dalam isu ini.

Lagipun hak kerajaan negeri juga tidak dinafikan langsung seperti yang dibentangkan dalam usul berkenaan. Selain itu, isu tuntutan royalti itu masih lagi kes mahkamah dan tuntutan masih dilakukan oleh kerajaan negeri terhadap kerajaan pusat, masih lagi belum ditarik balik dan masih berjalan.

Disamping itu, perundingan sama ada di peringkat kepimpinan atau pegawai antara kerajaan negeri dan pusat juga sentiasa terbuka dan tidak ada penyisihan sebagaimana usul yang dibacakan.

Sementara dalam konteks mat rempit, kerajaan negeri tahu untuk mengatasi masalah ini dan tidak perlu menangguhkan persidangan hanya kerana mahu membahas dan meluluskan usul PAS itu.

Ternyata dalam konteks wang royalti kerajaan negeri lebih tahu bagaimana ‘mahu mencari penyelesaian’ dengan kerajaan Pusat dan Petronas.

Ia tidak perlu dibahas atau dibincang pada persidangan DUN.

Sementara dalam konteks mat repit dan samseng jalanan, kerajaan negeri akan menubuhkan pasukan penguat kuasa khas melibatkan pelbagai agensi dalam usaha membanteras kegiatan samseng jalanan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, jawatankuasa yang bakal dianggotai polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan pihak berkuasa tempatan itu akan mencari kaedah terbaik bagi mengatasi masalah berkenaan.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga bersetuju untuk membiayai kos tertentu termasuk kerja lebih masa anggota pasukan penguat kuasa khas tersebut.

"Pasukan ini tidak akan mengira parti, malah kita alu-alukan juga pihak sebelah sana (PAS) turut sama. Pasukan ini akan berfungsi mencari kaedah paling sesuai dalam menangani masalah ini," katanya pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-12 semalam.




















Gambar – Ahmad Said pernah turun padang melihat sendiri gelagat mat rempit sekitar Kuala Terengganu akhir tahun lalu – Gambar Suhaimi Ahmad


Beliau berkata, pihak pembangkang juga diminta turut sama menangani masalah itu dengan menyelitkan nasihat kepada golongan belia terlibat menerusi ceramah-ceramah mereka.
"Kita harap dalam ceramah-ceramah PAS nanti, boleh beritahu anak-anak muda ini jangan merempit, jangan berperangai macam samseng," ujarnya.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri juga bercadang memasang kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa jalan utama dalam bandar di seluruh negeri bagi mengenal pasti mereka yang terlibat.
Katanya, kerajaan sedar masalah sosial yang turut melibatkan gadis sebagai minah rempit itu semakin kronik terutama di kawasan perindustrian.

"Mereka ini menunggang motosikal dengan cara seperti Superman, menggunakan motosikal kapcai atau skuter dan secara bergerombolan, yang menyusahkan pihak penguat kuasa untuk mengambil tindakan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment