Kerajaan Terengganu akan lebih selektif dalam mengeluarkan lesen balak, dan menimbang kemungkinan hanya pengusaha kilang kayu sahaja yang dibenarkan memohon bagi memastikan sumber hutan di negeri ini terkawal.
Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata sehubungan itu juga, pihaknya akan menghentikan pengeluaran lesen balak secara terus mulai Jun depan dan akan menggantikannya dengan kaedah tender bermula tahun depan.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa terlalu banyak lesen balak dikeluarkan kerajaan negeri sehingga harga komoditi itu jatuh, sejak beliau mengambil alih jawatan sebagai menteri besar.
Sebaliknya, katanya pengeluaran lesen pembalakan dihadkan dan hanya dikeluarkan di kawasan yang akan dijadikan empangan kedua di negeri ini.
"Tidak benar kalau nak kata seolah-olah pembahagian (lesen balak) banyak sangat sampai harga murah. Saya ada angka-angka jika ingin dibuat perbandingan bermula tahun 2003," katanya ketika menggulung perbahasan pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
Beliau mengulangi perkara yang sama ketika diserbu wartawan di luar persidangan selepas tamat sidang empat hari tamat semalam.
Menurut beliau, pada 2003 sebanyak 33,916 hektar kawasan balak diluluskan, 2004 (15,698 hektar), 2005 (13,369 hektar), 2006 (12,406 hektar) dan 2007 (14,424.78 hektar).
"Pada tahun 2008 saya tak keluar satu pun lesen balak masa mula mengambil alih jawatan Menteri Besar. Pada tahun 2009 baru saya keluar lesen iaitu seluas 6,794.24 hektar, tahun 2010 sebanyak 2,845.12 hektar, ini pun kerana kawasan itu terlibat dengan pembinaan empangan kedua yang terpaksa kita tebang," katanya menjelaskan angka-angka berkenaan diberi oleh Jabatan Perhutanan negeri.
Katanya dakwaan sesetengah pihak dalam dewan menyatakan terlalu banyak balak ditebang sehingga harga sumber hutan itu jatuh juga tidak tepat.
"Harganya bergantung kepada pasaran, sekarang ni orang tak ada duit. Yang ada duit saja boleh beli balak ni, sebab itulah pembeli yang tak ramai ni boleh kawal harga. Saya tidak ada apa yang saya nak lindungi," katanya.
Sidang DUN Terengganu yang berakhir hari ini ditangguhkan sehingga tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
No comments:
Post a Comment