Thursday, April 15, 2010

Kastam Terengganu lupus rokok seludup RM3j

Kastam Diraja Malaysia (KDRM) negeri melupuskan 5,131,858 batang rokok seludup seberat 7.6 tan bernilai kira-kira RM3 juta termasuk cukai sebanyak RM2,418,336.05 di pejabat Penguat kuasa KDRM di Kuala Terengganu, hari ini.

Aziz Yacub (dua dari kiri) mengeluarkan sisa-sisa rokok yang dimusnahkan dengan menggunakan mesin pengisar di Pejabat Penguatkuasa Kastam, Panji Alam, Kuala Terengganu, semalam.

Pengarahnya, Datuk Aziz Yacub berkata, rokok pelbagai jenama itu merupakan hasil rampasan dan kompaun sejak Januari tahun lalu hingga Februari tahun ini membabitkan 18 kes siasatan dari seluruh daerah sepanjang tempoh itu.

Katanya, selain rokok berkenaan, turut dilupuskan 38 botol arak dan 24 botol samsu serta 21 unit telefon bimbit.

"Kesemua rokok yang dimusnahkan merupakan rokok-rokok tidak mempunyai label stem cukai atau tanda dakwat keselamatan pada kotak rokok serta hampir 98 peratus merupakan rokok kretek dan selebihnya adalah rokok putih.

"Rokok-rokok tersebut dimusnah menggunakan sejenis mesin pengisar yang dipanggil 'shredder' bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar sebelum dibuang ke tempat pelupusan sampah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (GPTM), Shaik Abbas Ibrahim.
Mengulas lanjut, Aziz berkata, untuk rekod, sehingga April tahun ini, Kastam Terengganu telah berjaya memperoleh 36 kes yang melibatkan rampasan rokok seludup sebanyak 2,330,998 batang bernilai RM238,978.00 serta pengelakan cukai sebanyak RM1,126,807.36.

Katanya, beliau turut menyeru orang ramai agar tidak terlibat dengan aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penjualan barang-barang belum lulus kastam terutamanya rokok kerana ia merupakan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967.

Tambahnya, jika sabit kesalahan mereka terlibat boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Shaik Abbas turut memaklumkan, hasil kajian dilakukan oleh beberapa buah universiti sejak bulan Jun hingga Ogos tahun lalu mendapati 38.7 peratus perokok menghisap rokok seludup.

Katanya, kajian tersebut telah dilakukan sejak 15 tahun lalu dan dijalankan selama tiga kali setiap tahun.

"Hasil kajian daripada 44,000 paket rokok yang dikutip di jalanan di seluruh negara mendapati 38.7 peratus adalah paket rokok seludup. Jumlah ini jelas sekali amat membimbangkan serta ia menyebabkan kerugian kepada pengedar rokok yang sah," jelasnya.

No comments:

Post a Comment