Monday, April 26, 2010

Kumpul dana untuk penduduk Gaza

Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan) cawangan Terengganu akan menganjurkan Majlis Makan Amal Talian Hayat Gaza Palestin di Primula Beach Hotel Kuala Terengganu 30 April ini.

Yang Dipertuanya, Ishak Yusof berkata, program yang dianjurkan melalui Biro Haluan Palestin itu pertama kali dianjurkan bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada penduduk Gaza.

Katanya, dana yang diperolehi akan disalurkan melalui Haluan Palestin Malaysia yang akan menyertai Konvoi Kemanusiaan Haluan Palestin anjuran Yayasan Hak Asasi Kemanusiaan, Kebebasan dan Bantuan Kemanusiaan Turki (IHH Turki).

Menurut beliau, konvoi bantuan kemanusiaan IHH Turki akan menggunakan 20 buah kapal yang turut disertai oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa termasuk dari Malaysia.

''Majlis makan malam juga diharapkan dapat menyedar serta mendidik masyarakat akan kepentingan memperjuangkan hak-hak asasi manusia di samping menyampaikan informasi berhubung situasi terkini di Palestin," katanya.

Mengulas lanjut Ishak berkata, sempena majlis makan malam itu, tetamu akan dihiburkan dengan persembahan nasyid dari Kumpulan Shoutul Furqan-Malaysia dan persembahan multimedia isu Palestin.

Katanya, pihaknya berharap dapat mengumpul sebanyak RM30,000 pada majlis makan malam itu.

Sehubungan itu, beliau yang juga pengerusi penganjur majlis makan malam itu mempelawa syarikat korporat, NGO dan individu untuk bersama-sama membantu menjayakan majlis tersebut dengan membeli meja sambil menderma.

Mereka yang berminat boleh menghubungi sekretariat melalui talian 016-9803001 atau 09-6880888 serta 019-9510101.

No comments:

Post a Comment