Kerajaan Terengganu sedia bekerjasama dengan mana-mana persatuan menyelam yang berhasrat menjalankan kerja-kerja membersih dan memulihara khazanah dasar laut di Terengganu, termasuk dari segi menyediakan peruntukan buat mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Za'aba Mohd Adib berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil berat terhadap aspek kebersihan dalam negeri bukan sahaja di darat tetapi juga dasar laut, terutama di pulau-pulau peranginan.
"Aktiviti pembersihan dasar laut dan pembersihan dasar laut ini merupakan kerja-kerja yang dilakukan secara berterusan dan kami amat mengalu-alukan mana-mana persatuan menyelam yang berminat melakukan aktiviti itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri program pembersihan pantai dan dasar laut serta proses menenggelamkan kapal nelayan asing untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Tenggol semalam yang sertai oleh 20 penyelam dari Persatuan Menyelam Ocean Elements.
Katanya kebersihan dasar laut perlu sentiasa dipelihara kerana Terengganu mempunyai kawasan pantai sepanjang 244 kilometer serta pulau-pulau yang menjadi daya tarikan utama pelancong termasuk untuk aktiviti menyelam.
"Terengganu memiliki terumbu karang antara yang tercantik di Malaysia dan amat rugi jika tidak menghargainya. Jangan sampai apabila ia terancam barulah hendak dilaksanakan kerja-kerja menjaganya," katanya.
No comments:
Post a Comment