Lembaga Jurutera Malaysia akan mengambil tindakan tegas jika siasatan mendapati terdapat salah laku pihak jurutera sehingga mengakibatkan kejadian runtuhan para besi di tapak binaan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 29 Mac lalu.
Setiausahanya Ruslan Abdul Aziz berkata Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh) sedang menyiasat kejadian itu dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap jurutera yang terlibat mengikut Akta Jurutera jika didapati terdapat salah laku oleh pihak terbabit.
"Segala kerja sementara termasuk peranca di tapak binaan mesti dikawal dengan teliti mengikut peraturan dan kod amalan yang sedia ada.
"Pihak Kontraktor perlu melantik jurutera profesional yang bertauliah bagi memastikan reka bentuk dan pembinaan mematuhi syarat-syarat seperti termaktub dalam Peraturan Kilang dan Jentera (Kendalian Bangunan dan Kerja-kerja Binaaan Kejuruteraan) Keselamatan 1986," katanya dalam kenyataan di Kuala Terengganu semalam.
Menurutnya, walaupun peranca tapak telah direka bentuk oleh jurutera, pemantauan keselamatan di tapak adalah sangat mustahak untuk memastikan pekerja mengikut prosedur kerja supaya peranca tapak kukuh dan tidak dibebankan dengan keterlaluan yang menyebabkan keadaan berbahaya.
Di samping itu, katanya kontraktor juga mesti mematuhi aspek yang diberikan oleh jurutera perunding terhadap segala aspek keselamatan bagi kerja sementara di tapak seperti lif tapak.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.10 petang pada 29 Mac lalu, seorang buruh warga Bangladesh maut, manakala empat lagi rakannya cedera apabila para besi bagi pembinaan bangunan institut itu runtuh.
No comments:
Post a Comment