Thursday, April 8, 2010

Penurunan kes demam denggi di Terengganu

Terengganu mencatatkan penurunan sebanyak 22.4 peratus bagi kes demam denggi dalam tempoh sehingga 3 April tahun ini iaitu 270 kes berbanding 348 kes pada tahun lepas.

Pengerusi Jawantankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Dr Abdul Rahman Mokhtar berkata bilangan kes demam denggi berdarah dalam tempoh yang sama juga mencatatkan penurunan iaitu daripada 16 kes tahun lepas kepada hanya 12 kes.

"Semua daerah mencatatkan penurunan daripada segi bilangan kecuali Kuala Terengganu yang mencatatkan peningkatan 10.7 peratus iaitu daripada 114 kes kepada 165 kes," katanya.
Beliau menyatakannya pada persidangan DUN Terengganu semalam.

Katanya hasil kajian Jabatan Kesihatan mendapati tahap kebersihan di Kuala Terengganu terutama di bandar masih belum memuaskan dan terdapat 13 kawasan wabak yang dikenalpasti sehingga kini.

Antaranya Kampung Losong Hj Long, Buluh Gading, Rumah Awam Kos Rendah Telaga Daeg, Kampung Nibong dan Panji Alam.

Selain Kuala Terengganu, daerah Besut mencatatkan 33 kes, Hulu Terengganu (15), Marang (9), Dungun (26), Kemaman (14) dan Setiu 14 kes.

Katanya dalam tempoh yang sama Jabatan Kesihatan telah membuat pemeriksaan di 46,006 premis di seluruh negeri ini dan sebanyak 264 premis yang didapati menjadi tempat pembiakan nyamuk jentik-jentik telah dikenakan kompaun.

No comments:

Post a Comment