Sunday, April 25, 2010

Malam PEWARTA 2010 ada kejutan


Pertemuan Ahli JK PEWARTA dengan Menteri Besar di Wisma Darul Iman minggu lalu.

Persatuan Wartawan Terengganu (PEWARTA) akan menganjurkan Malam Pewarta 2010 di kediaman Seri Iman, 6 Jun depan sempena mesyuarat agong PEWARTA pada sebelah pagi.

Malam yang dipenuhi acara anugerah Tokoh Wartawan dan Masyarakat 2010 kali kedua itu mendapat kerjasama rapat Kerajaan Negeri.

Pada pertemuan Jawatankuasa PEWARTA dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said minggu lalu, beliau bersetuju untuk merasmi dan menyampaikan anugerah malam berkenaan.

Beliau juga akan melancarkan lebih daripada 20 buah jodol buku terbaru karya ahli jawatankuasa dan ahli PEWARTA serentak dengan penjualan pada pamiran buku PEWARTA di perkarangan malam bersejarah itu.

Kali ini, PEWARTA tidak sahaja memberi anugerah kepada empat tokoh wartawan malah anugerah utama iaitu “Anugerah Khas Presiden” kepada seorang pemimpin yang paling lama berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Anugerah juga akan diberikan kepada pemimpin NGO yang kini berjaya memiliki syarikat gergagasi di dalam dan luar Terengganu.

Empat tokoh wartawan itu diberi berdasarkan empat kategori dalam bidang kepakaran masing-masing bagi berita, rencana, cerpen dan drama.

Mereka bukan sahaja memperkenalkan negeri Terengganu malah memberi inspirasi kepada seluruh masyarakat dalam dunia tanpa sempadan ini.

Pada 2004 - kali pertama PEWARTA menganjurkan malam “Anugerah Tokoh Wartawan dan Masyarakat”, anugerah disampaikan kepada empat tokoh wartawan.

Mereka ialah bekas Timbalan Menteri Perushaan Utama yang juga novelis serta bekas wartawan Utusan Melayu, Datuk Alias Mohd.Ali dan bekas ADUN Air Puteh yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia, Haji Harun Hassan disamping dua lagi bekas wartawan Utusan Melayu iaitu Haji Embong Muhammad serta pelakon dan penulis skrip filem, Omar bin Puteh (Aimi Jarr).

Tiga aktivis yang menerima “Tokoh Masyarakat” pula ialah Tan Sri Datuk Dr.Yusoff Mohd.Nor (bekas menteri dan kini Pengerusi FELDA), Datuk Haji Awang bin Jabar (bekas Ahli Parlimen Dungun dan Setiausaha Parlimen) dan Puan Hajah Hafsah binti Abdul Jalili (bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Dungun dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Syarikat Lombong EMMCO Bukit Besi).

Berkaitan buku yang diterbitkan, sebahagian besar novel, antologi cerpen, puisi, sajak dan panduan menulis drama itu berlatar belakangkan negeri Terengganu.

Antara novel yang akan dilancarkan itu termasuklah ‘Matinya Seorang Ulama Tersohor’ oleh Wan Aminah Endut, wanita tunggal dalam kumpulan PEWARTA.

Beliau ialah pendidik yang menggarapkan menimba pengalaman dari ayahnya, seorang guru agama keturunan ulama dan mufti Terengganu.
Selain dari itu Cinta Gadis Nelayan, Operasi Tawan Pulau Buai, Penghuni Pantai, Nostalgia, Legenda Batu Bersurat, Misteri Gua Taat, Asal Usul Bukit Besi ( Haji Mohamed Jusoh- Bekas Editor Utusan), Peristiwa di Gua Hantu,Tinggi-tinggi terbang Bangau (5),Bukit Besi dalam kenangan (Haji Embong Muhammad- Bekas Wartawan Utusan),Dailog Malam Pertama (Haji Abdullah Ngah- Penulis Bebas).

Buku-buku Antologi Puisi pula: Berkongsi Mimpi (Haji Wan Ahmad bin Ismail),Tiga Mata Serangga (Hilmi Rindu),Di Perhentian Terakhir (Wahba- Bekas Wartawan Utusan) dan Tips Menulis Skrip Drama Radio (Mohd Zan Mat Ali).

No comments:

Post a Comment