Tuesday, April 13, 2010

Sukhoi boleh guna landasan Gong Kedak


Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Gong Kedak dekat Bukit Puteri akan dijadikan salah satu daripada pangkalan udara penting di Pantai Timur.

Beliau mengakui ada masalah berlaku pada peringkat awal apabila seketul batu mengenai enjin pesawat namun ia merupakan satu kejadian terpencil.

Beliau menyangkal dakwaan bahawa mengalami masalah sehingga tidak dapat digunakan untuk penempatan pesawat pejuang Sukhoi.

Beliau diberi penghormatan menaiki sendiri pesawat tempur itu yang dikendalikan seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di lapangan terbang berkenaan, semalam.

Menurutnya, beliau terbang menaiki jet Sukhoi bagi membuktikan kepada masyarakat bahawa pesawat itu dapat menggunakan landasan berkenaan yang sebelum ini didakwa bermasalah.

“Tiada masalah teknikal pada landasan ini dan Sukhoi dapat beroperasi dengan baik kerana saya sendiri menaiki jet itu di landasan terbabit," katanya yang dibawa terbang selama 30 minit sehingga ke Kota Bharu, Kelantan.

"Kerajaan merancang untuk membina sebuah terminal di sini yang akan mengawal penerbangan pesawat Sukhoi selain pesawat pengangkutan seperti CN235 dan Charlie serta helikopter.

"Terminal ini dirancang dibina kerana tidak ada kemudahan seumpama ini di sini dan pembinaannya dijangka dijalankan di bawah Rancangan Malaysia ke-10," ujarnya selepas melakukan lawatan rasmi ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Gong Kedak kelmarin.

Hadir sama Panglima Tentera Udara Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Radzali Daud.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan beberapa laman blog yang menyatakan landasan di pangkalan tentera udara itu mengalami masalah infrastruktur.

Ahmad Zahid turut menghabiskan masa selama 50 minit menaiki pesawat Sukhoi dan berlegar-legar di ruang udara Terengganu dan Kelantan.

Beliau melahirkan keyakinan terhadap kemampuan pesawat Sukhoi sebagai aset terbaik pertahanan udara negara selain anggota kumpulan teknikal dan juruterbangnya.

"Sukhoi merupakan pesawat terbaik yang telah kita perolehi dan ia akan menjadikan pertahanan udara barisan hadapan kita yang terbaik," ujarnya.

Dalam pada itu, Radzali berkata, pengoperasian penuh Sukhoi akan mengalami sedikit kelewatan ekoran masalah teknikal berhubung integrasi peralatan dari Barat yang dimiliki oleh pasukan keselamatan tersebut.

"Tiada tarikh tetap untuk melaksanakan pengoperasian penuh pesawat ini.

"Kita akan dapatkan bantuan daripada tentera udara India berhubung beberapa peralatan dan senjata yang masih perlu dilaksanakan," katanya.

No comments:

Post a Comment