Tuesday, April 13, 2010

MAIDAM kutip RM9.3 juta

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjaya mengutip sebanyak RM9.3 juta pelbagai zakat dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, daerah Kuala Terengganu mencatatkan pungutan zakat tertinggi iaitu RM6.2 juta dan diikuti oleh Kemaman sebanyak RM1.6 juta.

Sementara itu, Dungun sebanyak RM589,057, Besut (RM351,709), Hulu Terengganu (RM309,143), Marang (RM189, 258) dan Setiu (RM116,877).

Menurut beliau, kutipan zakat yang diterima itu meningkat sedikit berbanding tiga bulan pertama tahun sebelumnya kira-kira RM9.007 juta.

''Setiap tahun dianggarkan unjuran kenaikan kutipan zakat di negeri ini antara 10 hingga 11 peratus, '' katanya selepas Majlis Penyerahan Zakat oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) negeri sebanyak RM166,500 kepada MAIDAM di Pejabat MAIDAM di sini pagi ini.

BSN Terengganu diwakili oleh Pengurus BSN, Mohamad Hafis Hashim manakala MAIDAM diwakili oleh Yang Dipertuanya, Datuk Senara Muda, Mazlan Hashim.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman.

Menurut Khazan, sepanjang tahun lalu MAIDAM berjaya mengutip zakat RM73.561 juta dan pada tahun ini jumlah itu dianggarkan terus meningkatkan berdasarkan kesedaran orang ramai.

No comments:

Post a Comment