Kerajaan negeri akan memperluaskan penggunaan tenaga solar bagi keperluan beberapa lokasi serta pulau kecil yang sudah dimajukan sebagai tarikan pelancong di sekitar Tasik Kenyir.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, buat masa ini, hanya Gua Bewah dan Santuari Kelah yang menggunakan sistem bekalan elektrik seperti itu iaitu masing-masing 10 tahun dan tiga tahun.
Sehubungan itu jelasnya, kerajaan negeri bercadang melantik perunding dari luar negara untuk membuat kajian selama setahun bagi membolehkan beberapa lokasi menarik di Tasik Kenyir turut mendapat bekalan elektrik dari tenaga solar.
“Kita tak boleh dapat bekalan (elektrik) dari tanah besar ke Tasik Kenyir sebab kosnya sangat tinggi. Jadi kita akan lantik konsultan (perunding) untuk dibuat kajian bagi penyediaan tenaga solar ini.
“Perlu (kajian) setahun untuk kita pungut segala data mengenainya,” katanya selepas mengadakan lawatan ke taman dan pulau kecil iaitu Taman Burung, Taman Tropika, Taman Orkid dan Pulau Tekak Besar di sekitar Tasik Kenyir.
Turut sama, isteri beliau, Toh Puan Norliza Mahmud serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd. Adib.
Beliau serta anggota rombongan turut mengiringi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pada sesi taklimat mengenai kemajuan Tasik Kenyir di Petang Island Resort di Tasik Kenyir.
Pada perkembangan sama, Ahmad berkata, Taman Burung di tasik berkenaan dijangka mula dibuka kepada pengunjung pada pertengahan bulan depan selain menyiapkan Taman Orkid yang kini memiliki kira-kira 250 spesies orkid liar.
Beliau menjangkakan, tanaman orkid di taman itu akan berkembang dari 1,800 kepada 2,000 kehidupan orkid liar selain membawa masuk 1,000 lagi spesies orkid liar dari negara-negara rantau Asia Tenggara.
No comments:
Post a Comment