Buat julung kalinya, Pasukan Gerakan Marin Wilayah Tiga dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu (JSJN) mengadakan program berjumpa dan beramah mesra pelancong dalam usaha untuk mendekati golongan ini dan pengusaha pelancongan di pulau-pulau peranginan di negeri ini.
Ketua Penyelaras Unit Skuba PGM Wilayah Tiga ASP Roslan Che Kar berkata, program yang turut disertai lapan anggota dari Unit Skuba pasukan itu merupakan pertama kali diadakan oleh PGM di negara ini.
"Ia diadakan dengan tujuan untuk menunjukkan kepada pelancong terutama dari luar negara bahawa kawasan perairan dan pulau-pulau peranginan di negara ini selamat untuk dikunjungi.
"Selain itu, dengan kehadiran kita, ia akan menunjukkan bahawa polis sentiasa bersedia dari segi kekuatan anggota dan logistik seperti jet ski jika ada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku di pulau-pulau," katanya selepas mengadakan lawatan mesra di Pulau Perhentian di Besut, semalam.
Beliau berkata pasukan itu berhasrat mengadakan program tersebut secara berkala dari masa ke semasa di pulau-pulau peranginan di Wilayah Tiga yang merangkumi Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Sementara itu Ketua JSJN Terengganu, Supt Roslan Abd Wahid yang turut menyertai program itu berkata dengan lawatan yang diadakan itu, pelancong akan lebih mudah menyalurkan segala permasalahan yang mereka hadapi, begitu juga dengan pengusaha bot pelancong dan chalet.
"Setakat ini maklumbalas yang diterima daripada pelancong yang kita temui menyatakan rasa selamat dan gembira berada di negara ini.
"Mereka juga kagum dengan sifat polis kita yang mesra selain kelengkapan logistik yang kita ada termasuk jet ski," katanya.
Beliau berkata, selain menaikkan imej pasukan polis, secara tidak langsung program itu turut memberikan impak kepada sektor pelancongan di negeri ini.
Ini kerana katanya, jaminan keselamatan yang diberikan akan menarik lebih ramai kehadiran pelancong.
No comments:
Post a Comment