Sunday, April 11, 2010

Tujuh anggota polis Terengganu disiasat kes dadah

Polis Terengganu kini menjalankan siasatan terhadap tujuh anggotanya yang disyaki terbabit dengan penagihan dadah.

Ketua Polis Terengganu, SAC I Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata siasatan membabitkan tiga anggota daripada pasukan polis marin, dua dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan dua lagi anggota dari Balai Polis Gong Badak.

"Sampel air kencing kesemua anggota polis berkenaan sedang disaring dan sekiranya didapati positif tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya selepas menyertai Karnival PDRM Bersama Masyarakat Besut yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh di Besut semalam.

Menyentuh berhubung pembangunan, beliau berkata, Polis Terengganu diperuntukkan RM1 juta untuk projek membaiki bangunan-bangunan lama di balai-balai dan ibu pejabat polis di seluruh negeri.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius dakwaan terdapat segelintir anggota polis di Terengganu terbabit dengan kesalahan tatatertib yang membabitkan penyalahgunaan kuasa hingga mengambil tindakan sendiri yang tidak menyenangkan masyarakat.

Mohd Shukri berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota, termasuk pegawainya yang tidak berdisiplin atau terbabit dengan kes jenayah.

No comments:

Post a Comment