Saturday, April 17, 2010

SM Imtiaz YT buktikan kecemerlangan

Keputusan peperiksaan UPSR yang amat memberangsangkan memerlukan lebih banyak sekolah asrama penuh dan sekolah berasaskan agama yang mendapat permintaan tinggi di kalangan ibu bapa dan pelajar diwujudkan di Terengganu.

Berikutan itu, kerana pencapaian baik Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu, khususnya SM Imtiaz Besut menjadi pendorong Kerajaan Negeri berhasrat membina sekolah berkenaan di setiap daerah.

Kerajaan Negeri sudah berjanji bahawa setiap daerah akan memiliki sekurang-kurangnya sebuah SM Imtiaz bagi memastikan kecemerlangan pendidikan di negeri ini ditingkatkan secara berterusan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said membuat janji itu pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz YT di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.
Serentak dengan itu mulai tahun ini tiada lagi pihak luar yang menguruskan SM Imtiaz, sebaliknya pengurusan sekolah berkenaan diletakkan di bawah Unit Pengurusan Sekolah Menengah Imtiaz Yayaysan (YT) Terengganu.

Kita yakin pengurusan SM Imtiaz boleh diperkukuhkan lagi selepas pengurusannya diletakkan sendiri di bawah YT dan tidak lagi di bawah pengurusan syarikat lain seperti tahun sebelum ini.

“Kita juga rasa kurang sesuai pengurusan SM Imtiaz diuruskan syarikat lain sedangkan YT berkemampuan menguruskan sendiri,” katanya.

Tidak dinafikan, SM Imtiaz YT kini semakin membuktikan kecemerlangannya dan ini dibuktikan dengan SM Imtiaz Besut muncul antara sekolah terbaik di Terengganu apabila 34 daripada 53 pelajarnya memperoleh 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 yang diumumkan akhir Disember lalu. Selain itu, 12 pelajarnya juga memperoleh 8A diikuti lima orang mendapat 7A dan masing-masing seorang yang memperoleh 6A dan 5A.

Menteri Besar berkata pembinaan SM Imtiaz di dua daerah yang masih tidak mempunyai sekolah elit berkenaan akan ditentukan selepas SM Imtiaz di Kemaman siap dalam tempoh dua tahun lagi.

Menurutnya, ketika ini Terengganu memiliki empat SM Imtiaz, masing-masing di Kuala Terengganu, Besut, Dungun dan Kuala Berang, tidak termasuk sebuah SM Imtiaz yang akan dibina di Kemaman.

“Apabila SM Imtiaz di Kemaman siap, kita merancang membina dua lagi SM Imtiaz di daerah yang masih belum mempunyai sekolah elit berkenaan iaitu di Setiu dan Marang.

“Bagaimanapun, pembinaan SM Imtiaz di dua daerah itu juga bergantung kepada peruntukan dan kawasan bersesuaian,” katanya.

Mengulas mengenai pembinaan SM Imtiaz Kemaman, Ahmad Said berkata, tender tanah bagi projek pembinaan itu akan dikeluarkan pada pertengahan tahun ini.

Menurutnya, apabila sekolah berkenaan siap nanti, ia dijangka mampu menampung seramai 1,000 pelajar.

No comments:

Post a Comment