Oleh Ruslan Abdul Rahman (Teganukita)
UMNO Terengganu turut membantu jentera pilihan raya kecil Barisan Nasional (BN) di Hulu Selangor bagi memastikan P.094 Hulu Selangor kembali ke tangan BN.
Pagi ini, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dijangka turut menyertai perarakan Barisan Nasional (BN) pada penamaan calon pilihan raya itu.
Ketua Penerangan MIC P. Kalamanathan adalah calon BN pada pilihan raya kecil itu.
Kelmarin beberapa majlis perkenalan atau ramah mesra di antara jentera tempatan dan barisan pimpinan UMNO Terengganu telah diadakan di beberapa kawasan mengundi yang menjadi fokus UMNO Terengganu.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Tengku Putera Awang berkata, pada kali ini pihaknya telah melantik Ketua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Haji Mohd.Jidin Shafie mengetuai kontinjen Terengganu.
Katanya, jentera UMNO Terengganu akan bertindak sebagai membantu jentera pilihanraya BN tempatan yang sedia ada sahaja.
Beliau yakin dan percaya kekuatan UMNO dan BN di Hulu Selangor itu boleh kerana majoriti yang diperolehi penyandang yang lalu adalah kecil sahaja iaitu 198 undi sahaja.
Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong selepas penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 25 Mac lalu akibat barah otak.
Pada pilihan raya umum 2008, wakil rakyat dari pembangkang itu menang dengan majoriti yang amat tipis.
Manakala Penolong Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Mohd Pehimi Yusof pula berpuas hati dengan persiapan awal yang telah dibuat oleh pengurusan UMNO Terengganu untuk tujuan membantu kempen pilihan raya kecil itu.
Ketika ditemui di Hulu Selangor, beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Besut menyifatkan pilihan raya kecil ini penting untuk menentukan BN terus kukuh di Parlimen dan melihatkan keadaan pembangkang yang berpecah sesama mereka pada masa ini, peluang kemenangan untuk BN adalah positif.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Shabery Cheek ketika menyampaikan ucapan kepada jentera pilihan raya BN dan Umno di sebuah perkampungan Felda menyifatkan penebusan maruah UMNO adalah penting dari segala-galanya.
“Maruah UMNO akan tertebus jika kita memenangi pilihan raya ini kerana kita telah merasakan betapa siksa dan pedihnya berada di bawah kerajaan pembangkang di Selangor, hingga segala kemudahan yang kita bina suatu masa dulu di halang dan disekat untuk kita menggunakkannya,” katanya dengan tepukan gemuruh dari orang ramai.
Menteri Belia dan Sukan Malaysia itu berharap semua pihak akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan calon BN dalam pilihan raya kecil ini bagi menebus maruah UMNO dan BN yang dihina di Selangor dengan pelbagai halangan dan sekatan oleh kerajaan pembangkang, termasuk kejadian hendak menggunakan padang bola pun dikenakan bayaran, tandas pun mereka menguncinya.
“Kita di Terengganu pernah dihina sebegini, kanak-kanak tadika dihalau, balai raya dihalang penggunaannya dan macam-macam perkara lagi, kini orang Selangor pula merasainya pula betapa peritnya berada di bawah penguasaan pembangkang dan BN dan UMNO Terengganu telah berjaya menebusnya kembali,” kata Ahmad Shabery yang juga Ketua Penerangan UMNO.
No comments:
Post a Comment