Tuesday, April 27, 2010

Terengganu antara negeri perintis Program LPPKN@Komuniti

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperuntukkan RM6.9 juta tahun ini bagi menjayakan Program LPPKN @ Komuniti yang berobjektif membantu isi rumah berpendapatan rendah.

Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata peruntukan itu bagi program perintis di lima negeri iaitu Sabah, Terengganu, Kelantan, Johor, Kedah dan Sarawak.

Program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu merupakan antara langkah untuk mencapai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kementerian itu dalam membantu isi rumah berpendapatan rendah, katanya.

"Dalam kita menangani isu kemiskinan, sama ada miskin, miskin tegar atau mudah miskin, pendekatan kita adalah secara menyeluruh, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di Kampung Madsiang, Penampang dekat sini.

Program itu terbahagi kepada beberapa komponen, antara mengenal pasti ketua isi rumah yang terlantar dan tidak boleh bekerja untuk diberikan bantuan kewangan dan mengenal pasti anggota keluarga yang memerlukan kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan dan mereka yang mahu berniaga untuk dibantu, katanya.

Beliau juga berkata melalui program itu, masyarakat akan diberikan kesedaran mengenai pentingya pendidikan dan kesihatan berikutan ramai keluarga miskin mempunyai tahap pendidikan dan kesihatan yang rendah.

Shahrizat berkata seramai 44,634 keluarga miskin, miskin tegar dan mudah miskin setakat ini telah dikenal pasti di seluruh negara melalui sistem E-Kasih.

Daripada jumlah itu, beliau berkata Sabah mempunyai 15,293 keluarga yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM540 sebulan.

No comments:

Post a Comment