Saturday, April 17, 2010

Terengganu azam terus hambat skuad Merah Kuning

Dengan persaingan Liga Super kian hangat, Terengganu kini tidak boleh keciciran sebarang mata andai mahu terus menghambat Selangor di persada.

Terengganu kini ketinggalan dari segi mata, namun memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan selepas pendahulu liga, Selangor beraksi menentang Perak, semalam.

Selangor semalam cemas seketika sebelum bangkit mengatasi Perak 4-1 di Stadium Shah Alam selepas pemain skuad Seladang, Nazri Khalid mencuri tumpuan apabila mengejutkan Selangor 1-0, selepas bijak memperdayakan Khairul Anuar Baharom sebelum menewaskan penjaga gol, Mohd. Iqbal Suhaimi pada minit ke-35.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor memperkemaskan serangan dan Safee Sali mendapatkan gol penyamaan tiga minit kemudian, hasil tujahan kaki kiri selepas menerima hantaran Amirulhadi Zainal.

Tanda kemenangan Selangor kian jelas, apabila Safiq Rahim melakukan rembatan lencong yang menerjah gawang Perak untuk kedudukan 2-1 pada minit ke-78.

R. Surendran menjaringkan dua gol pada minit ke-84 hasil sepakan penalti dan melalui tandukan pada minit ke-88 setelah memperolehi umpanan Amirulhadi.

Kemenangan itu melebarkan kelebihan Selangor di tangga teratas liga kepada enam mata ke atas Terengganu.

Namun, jurang itu mampu dirapatkan kembali apabila bertemu Johor FC di tempat lawan malam ini manakala kegagalan akan memberikan lawan itu kesempatan untuk memintas di tangga kedua.

Jurulatih Irfan Bakti Abu Salim berkata, tiada guna memikirkan segala kemungkinan mengenai Selangor, sebaliknya Terengganu perlu menumpukan perhatian terhadap kemampuan sendiri.

“Kami tak fikirkan soal Selangor, sebaliknya memikirkan pasukan kami sendiri. Kami sudah melupakan kekalahan pada (separuh akhir) Piala FA tempoh hari dan akan fokus kepada saingan liga,” kata Irfan.

Terengganu tersingkir daripada Piala FA selepas tewas 4-1 kepada Kedah secara agregat dan kini menyandarkan harapan mereka merebut gelaran liga dan Piala Malaysia.

Irfan menyambut kepulangan kapten, Marzuki Yusoff yang pulih daripada kecederaan tetapi terpaksa melupakan khidmat penyerang muda, Abdul Manaf Mamat dan Firdaus Fuzi yang menjalani penggantungan.

Jadual liga yang kembali bersambung selepas rehat hampir sebulan bakal menyaksikan Kelantan mahu merosakkan sambutan keraian juara Piala FA, Negeri Sembilan di Stadium Paroi.

Setelah dinobat juara Piala FA, Negeri Sembilan mendapat 'nafas baru' apabila melaungkan kesediaan mereka untuk menggempur mana- mana pasukan dalam saingan Liga Super.

Skuad Rusa, di tangga keempat liga, percaya mereka masih berpeluang untuk bergelar juara Liga Super, jika mampu mengekalkan momentum kemenangan.

Lantaran itu, skuad kendalian, Wan Jamak Wan Hassan menjanjikan laluan sukar buat pasukan Kelantan, pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini hari ini.

Kedah pula ingin bangkit daripada kekecewaan kekalahan final, Sabtu lalu dengan kemenangan ke atas Kuala Lumpur di tempat lawan.

No comments:

Post a Comment