Tuesday, April 6, 2010

Terengganu bina tamadun baru


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said (kiri) menyerahkan teks ucapan Pembukaan Penggal
Persidangan ke-3 Dewan Undangan Negeri Yang ke-12 kepada Tengku Sri Panglima Raja.


Kerajaan Terengganu beriltizam untuk Membina Tamadun Terengganu Baru dengan menjadikan negeri ini sebagai pusat kajian dan penyelidikan al-Quran peringkat antarabangsa.

Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman berharap akan lahir nanti ilmuan, intelek dan pakar dalam pelbagai bidang yang bukan sahaja mampu menguasai bidang-bidang agama dan hafazan al-Quran tetapi juga turut mampu menerokai bidang Sains dan Teknologi.

“Ini landasan yang perlu dibina ke arah mewujudkan masyarakat Ulul Albab.Pembinaan sekolah Imtiaz perlu diadakan di setiap daerah bagi memberi peluang anak-anak negeri belajar agama dengan lebih bersistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pembukaan Penggal Persidangan Yang Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN)) Yang Ke-12, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Beliau percaya masyarakat Islam di negeri ini akan menjadi umat terbaik (khaira ummah) dan umat yang seimbang (ummatan wasata) dalam aspek fizikal, emosi, intelek dan rohani seterusnya dapat mengurangkan kepincangan sosial.

Selain itu, katanya dengan penggunaan teknologi maklumat secara meluas memerlukan kita sentiasa bersedia dengan perubahan teknologi yang pantas berubah dan baru.

Kesempatan ini perlu diambil segera dengan melengkapkan keupayaan perisian, perkakasan dan peralatan ICT kearah mewujudkan pentadbiran kerajaan elektronik terkini.

Beliau berkeyakinan penggunaan ICT secara meluas dalam pentadbiran Kerajaan Terengganu akan menjadi pemangkin kepada kejayaan Koridor Raya Multimedia Pantai Timur (MSC) yang akan melibatkan persefakatan antara pihak kerajaan, swasta dan orang awam.

Oleh yang demikian, penggunaan sistem ICT e-Kerajaan Bersepadu Negeri Terengganu (TeG) sudah pasti dapat menambah keberkesanan dan kecekapan sistem penyampaian di samping dapat mengatasi kerenah birokrasi yang telah lama diperkatakan.

“Langkah kerajaan negeri memperkenalkan e-Book kepada pelajar sekolah rendah dan TB Kids kepada kanak-kanak Tadika harus diberi pujian.

"Langkah awal ini telah mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan. Pelajar diberi pendedahan minda ke arah ICT, mempunyai minda yang lebih terbuka, berfikiran kreatif dan inovatif,” katanya.

Dalam menjayakan sistem pembelajaran berkonsepkan teknologi elektronik pada 2009 seramai 23,400 pelajar telah dibekalkan dengan e-Book.

Manakala pada 2010 dijangkakan lebih 50, 000 pelajar Tahun Empat dan Tahun Lima termasuk guru yang mengajar Tahun Enam akan dibekalkan e-Book.

Tengku Sri Panglima Raja bersalaman dengan hadirin selepas menyempurnakan istiadat pembukaan penggal persidangan DUN Terengganu.

Malah, e-Book ini juga akan dipanjangkan penggunaannya juga ke peringkat sekolah menengah rendah pada masa depan.

“Kita dimaklumkan bahawa program TB Kids yang dilaksanakan di 16 Tabika Perpaduan telah terbukti amat berkesan dan turut menambah minat belajar kanak-kanak.

“Justeru, kita berharap pelajar gunakanlah sebaik mungkin kemudahan yang diberikan ini agar hasrat kerajaan mewujudkan sebuah masyarakat bermaklumat benar-benar tercapai,” katanya.

No comments:

Post a Comment