Tuesday, April 6, 2010

e-Book di Jabatan Pediatrik HSNZ

Terengganu memerlukan hospital baru bagi daerah Kemaman dan Dungun untuk menampung keperluan di kedua-dua kawasan itu, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said semalam.

Beliau berkata kerajaan negeri berharap pembinaan kedua-dua buah hospital itu dapat dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang bermula tahun depan.

"Kedua-dua hopital berkenaan tidak mampu menampung pesakit yang kian ramai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan 10 buah komputer e-Book kepada Jabatan Pediatrik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu.

Menurut Ahmad kerajaan pusat merancang untuk membina hospital daerah Dungun semasa RMK-9, namun sehingga kini belum dilaksanakan.

Beliau juga yakin pembinaan kedua-dua hospital itu dapat mengurangkan kesesakan di HSNZ.

Mengulas sumbangan e-Book itu, Ahmad Said berkata ianya sebagai galakan kepada pelajar sekolah rendah yang dirawat di hospital itu kerana menghidap talasemia.

"Sambil mereka mendapat rawatan, dia dapat belajar kerana di dalam e-Book ada sukatan mata pelajaran untuk Tahun Empat, Lima dan Enam. Kita mahu mereka terus belajar walaupun sedang menjalani rawatan terutama murid Tahun Enam yang akan menghadapi peperiksaan," katanya.

No comments:

Post a Comment