Monday, May 31, 2010

15,000 Murid Kafa Terengganu Akan Khatam Al-Quran Tahun Ini

Seramai 15,000 murid Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di Terengganu dijangka akan khatam Al-Quran tahun ini pada satu majlis yang akan diadakan pada bulan Oktober nanti.

Timbalan Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Alias Jaafar berkata jumlah itu merupakan sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan negeri sebagai usaha memastikan lebih ramai anak negeri khatam Al-Quran sebelum meninggalkan alam persekolahan di peringkat rendah.

Katanya sehingga Mac tahun ini sahaja dari bimbingan yang dilakukan oleh guru-guru Kafa, 6,993 orang sudah khatam Al-Quran.

Bercakap kepada pemberita di Besut di sini pada Ahad, Alias berkata semua majlis khatam Al-Quran murid-murid KAFA akan dibuat di kawasan parlimen masing-masing kecuali bagi parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu di mana mereka akan digabungkan.

Alias berkata tahun lepas 14,241 murid Kafa khatam Al-Quran dan jumlah itu lebih ramai berbanding pada tahun sebelumnya iaitu 13,877 orang.

Beliau seterusnya berkata tahun lepas pengurusan kelas Kafa menerima bantuan RM21 juta daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi pengurusan guru-guru Kafa di seluruh negeri yang seramai 3,141 orang.

No comments:

Post a Comment