Monday, May 31, 2010

Program perhimpunan Melayu Bangkit 14 Jun

Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) bersama 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan meneruskan program perhimpunan Melayu Bangkit pada 14 Jun ini di Stadium Negeri selepas mendapat persetujuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan memberi ucaptama pada majlis itu.

Pengerusi Gertak, Razali Idris, berkata program itu yang sebelum ini dijadualkan pada 13 Mei di Stadium Tertutup Gong Badak terpaksa ditangguhkan ke tarikh berkenaan atas faktor keselamatan.
Bagaimanapun, katanya, pengisian program itu membincangkan isu membabitkan bangsa Melayu termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020 dan perancangan ke arah penyatuan orang Melayu secara khusus.

"Dr Mahathir akan menyampaikan ucaptama pada majlis itu yang dijangka dihadiri lebih 20,000 peserta termasuk dari luar Terengganu," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Agung, Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia, Syed Anuar Syed Mohamad dan Naib Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Terengganu, Datuk Ramli Embong.

Menerusi program itu, Razali berharap hubungan sesama orang Melayu yang mula renggang berikutan perselisihan dalam pelbagai aspek termasuk politik, ekonomi dan pendidikan akan kembali bersatu untuk kestabilan negara.

Katanya, singkatan perkataan Gertak yang digunakan sebenarnya diambil daripada dialek Terengganu yang bermaksud jambatan, bertujuan menghubungkan orang Melayu walaupun berbeza fahaman politiknya.

Beliau berkata, pihaknya akan memohon permit daripada pihak berkuasa hari ini.

“Penyertaan terbuka kepada bangsa Melayu, tetapi Gertak tidak mempunyai sebarang masalah jika bukan Melayu ingin turut serta dalam program itu asalkan mereka menghantar surat terlebih dulu kepada penganjur,” katanya.

Selain ucaptama Dr Mahathir, program dijadualkan bermula jam 10 pagi itu akan turut menampilkan persembahan pencak silat, deklamasi sajak dan pameran warisan Melayu oleh Lembaga Muzium Terengganu.

No comments:

Post a Comment